Utusan Borneo (Sarawak)

SUSPEK KES BUNUH DICEKUP

Lelaki dipercayai terlibat kes bunuh Nurnia ditahan di sebuah rumah panjang di Julau.

- Oleh Michael Ubam

SIBU: Seorang lelaki berjaya diberkas di sebuah rumah panjang di Nanga Bilat, Julau untuk membantu siasatan kes pembunuhan seorang penjawat awam wanita di bilik sewanya di Jalan Tiong Hua di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong berkata, penangkapa­n suspek, 42, dilakukan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Julau dan Sibu pada jam 10.40 pagi semalam susulan maklumat awam.

“Lelaki itu telah dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan selepas dia dipercayai meminum cecair racun yang menyebabka­nnya kurang sihat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi turut memberitah­u, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan ketika berada di dalam tandas.

“Suspek berada di dalam tandas bersama satu botol lutsinar dipercayai mengandung­i racun baja urea untuk kelapa sawit yang telah dibancuh dengan air,” katanya.

Menurutnya lagi, suspek dipercayai telah meminum dan kemudian memuntahka­n semula cecair beracun tersebut.

Permohonan reman ke atas suspek dijangka dilakukan pagi ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada Khamis lalu, Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh rakan sekerja yang pergi mencarinya di bilik sewanya sekitar jam 3 petang.

Mereka pergi mencari mangsa selepas suaminya, 29, seorang kerani di sebuah sekolah rendah di Tatau, menghubung­i pihak pejabat untuk meminta mereka membantu mencari isterinya yang tidak menjawab telefon sejak tengah hari, hari berkenaan.

 ??  ?? AKAN DIREMAN: Suspek selepas berjaya ditangkap polis pagi semalam.
AKAN DIREMAN: Suspek selepas berjaya ditangkap polis pagi semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia