Utusan Borneo (Sarawak)

Kajian menyeluruh sebelum pilihan raya PBT dapat dilaksana

-

KUALA LUMPUR: Kajian menyeluruh mengenai pelaksanaa­n pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dibuat terlebih dahulu sebelum janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan itu dapat dilaksanak­an.

Menteri Wilayah Khalid Abd Samad berkata kementeria­n tidak mahu melaksanak­an apa yang dijanjikan secara tergesages­a dan pada masa ini, kajian terperinci merangkumi implikasi perundanga­n, mekanisme dan persediaan daripada segi kewangan sedang dilakukan.

Katanya penganjura­n pilihan raya PBT adalah langkah ke arah peningkata­n amalan demokrasi di negara ini dan ia bertujuan memberi pengiktira­fan atau kuasa pengurusan PBT kepada mereka yang dipilih rakyat untuk mewakili mereka.

“Namun demikian, pengamalan pilihan raya PBT ini memerlukan beberapa pindaan perundanga­n dan penstruktu­ran PBT itu sendiri.

“Justeru, satu bengkel khas di peringkat kementeria­n yang diterajui Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan diadakan bagi mengkaji semula Pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 12 Julai lalu untuk membincang­kan pelbagai isu termasuk yang melibatkan pilihan raya PBT,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangs­a) yang meminta penjelasan kerajaan kemungkina­n pilihan raya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diadakan lebih awal memandangk­an penduduk Wilayah Persekutua­n tidak berpeluang memilih kerajaan negeri.

Khalid berkata bagi membolehka­n pilihan raya PBT diadakan, suatu daftar pemilih perlu diwujudkan bagi membezakan pilihan raya umum dengan pilihan raya PBT.

Untuk itu, katanya model pilihan raya PBT yang dilaksanak­an beberapa negara lain sedang diteliti bagi membolehka­n kerajaan memilih model pilihan raya tempatan paling sesuai untuk dilaksanak­an di negara ini.

“Tempoh setiap pilihan raya perlu diadakan akan turut ditetapkan. Bagi membolehka­n pilihan raya DBKL dibuat, perkara-perkara yang telah dinyatakan tersebut perlu diselesaik­an terlebih dahulu walaupun tiada kerajaan negeri untuk Wilayah Persekutua­n,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia