Utusan Borneo (Sarawak)

IRC sudah serah laporan akhir

-

KUALA LUMPUR: Jawatankua­sa Reformasi Institusi (IRC) yang ditubuhkan bagi memberi syor pembaharua­n kepada kerajaan terhadap beberapa institusi utama negara telah menyerahka­n laporan akhirnya kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada bulan lepas, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata jawatankua­sa berkenaan yang dianggotai lima tokoh pemimpin dan pakar dalam pelbagai bidang juga memberi taklimat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Julai lepas mengenai cadangan-cadangan yang terkandung dalam laporan akhir berkenaan.

“Dengan penyerahan laporan ini, jawatankua­sa ini telah pun mencapai mandat mereka sebelum tempoh 100 hari yang ditetapkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan­Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PHPetaling Jaya) yang ingin tahu bila laporan terakhir dan laporan tambahan IRC yang telah diserahkan kepada CEP dan JPM akan didedahkan kepada ahli Parlimen dan orang awam.

IRC ditubuhkan pada 15 Mei lepas dan dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan K C Vohrah; bekas hakim mahkamah rayuan dan pesuruhjay­a Suruhanjay­a Hak Asasi Manusia ( Suhakam) Mah Weng Kwai; Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B) Mohd Arshad Raji; Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk S Ambiga dan pakar perlembaga­an dan pensyarah undang-undang Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Liew berkata IRC kini dalam proses menyiapkan laporan tambahan yang akan diserahkan sebelum tempoh 100 hari berkenaan tamat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia