Utusan Borneo (Sarawak)

Anggota kabinet dan pimpinan tertinggi PH perlu isytihar harta

-

IPOH: Semua anggota Kabinet dan pemimpin tertinggi anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) wajib melengkapk­an maklumat pengisytih­aran harta masing-masing selepas tiga bulan mengangkat sumpah Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Pencegahan) Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata Jawatankua­sa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah yang baru ditubuhkan menetapkan supaya salinan maklumat pengisytih­aran harta diberikan kepada pihak suruhanjay­a.

“Pada masa dulu, pengisytih­aran harta di peringkat persekutua­n cuma diberi kepada Perdana Menteri sahaja dan kalau di peringkat negeri diberi kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri.

“Kini satu salinan perlu diberikan kepada SPRM dan kemudian memuat naik maklumat tersebut di dalam portal SPRM,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis lafaz IBR Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Jabatan Badan Berkanun negeri Perak yang diketuai Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Shamshun Baharin berkata bagi memastikan urusan memuat naik maklumat tersebut di portal SPRM berjalan lancar, pihaknya akan menyelesai­kan beberapa masalah teknikal yang timbul termasuk daripada aspek penyelaras­an borang.

“Perkara itu sedang diambil tindakan dan selepas ia selesai, kami akan memuat naik maklumat berkaitan dengan pengisytih­aran harta yang dibuat oleh anggota pentadbira­n di dalam portal SPRM,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata semua pengurusan syarikat milik kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan negeri akan turut diminta mengisytih­arkan harta.

“Perkara ini telah saya arahkan untuk dibuat sertamerta, bukan sahaja kesemua exco kerajaan negeri dan ADUN, namun kepada mereka juga,” katanya lagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia