Utusan Borneo (Sarawak)

Habsah harap lebih banyak ranting PKR dibuka di Sibu

-

SIBU: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Dato Sri Habsah Harun berharap lebih banyak ranting PKR dibuka di sekitar kawasan kampung di Sibu.

“Ini supaya ahli-ahli kita dan rakyat di sini dapat memberi suara lebih kuat dan padu meminta bantuan atau perhatian daripada kerajaan.

“Selain itu, ranting-ranting ini juga boleh membantu kita memupuk perpaduan dalam kalangan ahli yang sememangny­a terdiri daripada berbilang kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penubuhan Bilik Gerakan PKR Ranting Kampung Jeriah bersebelah­an Masjid Babusalam Kampung Jeriah, di sini petang semalam.

Beliau turut menyeru kepada ahli PKR supaya tidak bersikap sombong terhadap rakyat yang ingin mengadu masalah atau mendapatka­n bantuan daripada mereka.

“Kita kini sudah menjadi parti yang memerintah, jadi kita harus menukar cara kita berfikir dan bertindak.

“Jangan jadi sombong dan takbur, kita cuba bawa orang dengan cara yang benar, logik dan lemah lembut...bukan dengan cara menakut- nakutkan kerana orang lebih tertarik dengan cara yang lemah lembut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Ranting Kampung Jeriah Wilie Zainal berkata keahlian PKR Ranting Kampung Jeriah kini sudah mencecah seramai 171 orang dan bakal bertambah dari semasa ke semasa.

Justeru, beliau berharap kepimpinan PKR peringkat atasan dapat mempertimb­ang memberi peruntukan bagi mereka membina sebuah bilik gerakan yang lebih selesa.

“Pada masa ini, kita hanya menggunaka­n kawasan letak kereta dalam kawasan rumah sebagai tempat mengadakan perjumpaan dan sebagainya.

“Jadi, kita harap permintaan ini dapat ditunaikan oleh pemimpin kita untuk keselesaan ahli di kawasan ini,” katanya.

Majlis itu dihadiri kira-kira 100 penduduk sekitar Kampung Jeriah di sini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia