Utusan Borneo (Sarawak)

10 mat rempit ditahan di BKE

-

BUKIT MERTAJAM: Sepuluh mat rempit yang menjadikan Lebuhraya Butterwort­h Kulim (BKE) sebagai lokasi mereka berlumba haram ditahan polis dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di kawasan berkenaan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Roz Azhan Nik Abdul Hamid berkata 10 lelaki berusia 16 hingga 24 tahun termasuk seorang pelajar tingkatan empat itu ditahan dalam operasi dijalankan selama lapan jam bermula jam 1.30 pagi.

“Semua mat rempit itu sedang leka berlumba ketika operasi tersebut dan sebaik menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri dan ada yang melawan arus bagi mengelak ditahan namun gagal kerana kami terlebih dahulu mengepung kawasan berkenaan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata dalam operasi itu, polis turut menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan sudah tidak bersekolah kerana terlibat dalam kegiatan curi motosikal.

Katanya semasa ditahan, remaja itu menunggang motosikal baru dicurinya di kawasan Seberang Jaya dan siasatan mendapati suspek terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak beberapa bulan lepas bersama dua rakannya.

Nik Ros Azhan berkata polis turut membuat pemeriksaa­n ke atas 83 pengguna jalan raya serta 77 motosikal dalam operasi itu, dan 31 saman dikeluarka­n atas pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tiada lesen memandu, mengubah suai nombor plat kenderaan dan ekzos serta tiada cermin sisi.

“Sebanyak 11 motosikal turut disita dalam operasi itu kerana pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan dan ubah suai kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan kerana berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterwort­h (BORR), awal pagi semalam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia