Utusan Borneo (Sarawak)

Kembara Merdeka bukan sekadar kembara kosong atau makan angin

-

KUANTAN: Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 yang disertai 133 peserta dengan menjelajah pelosok negara sejauh 6,100 kilometer bukanlah satu kembara kosong yang hanya bersifat syok sendiri atau makan angin.

Sebaliknya, peserta menyifatka­n kembara itu sebagai antara sumbangan kecil mereka kepada negara untuk menyemarak­kan lagi semangat patriotism­e dan cintakan tanah air terutama di kalangan generasi muda.

Timbalan Presiden Kelab Motor ST1300 MMC, Mohd Arifin Idris, 59, berkata penyertaan kali kedua dalam kembara tersebut memberi makna kepada dia dan rakanrakan­nya.

“Seramai 30 anggota kelab meluangkan masa dan tenaga hampir sebulan sejak 4 Ogos lalu untuk bersama- sama menyemarak­kan lagi kempen kibar Jalur Gemilang di seluruh negara.

“Kita mahu menyemarak­kan lagi rasa cintakan negara kepada setiap lapisan masyarakat terutamany­a generasi muda melalui usaha mengibarka­n bendera. Lebih bermakna, ia diadakan pada Bulan Kemerdekaa­n ini dan kita bersama-sama menghayati erti kebebasan dan kemakmuran yang dinikmati sehingga hari ini.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada majlis pelepasan Program Kembara @ Komuniti dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 di sini semalam yang disempurna­kan Pengarah Penerangan negeri Mohd Salmun Mustafa.

Seramai 133 peserta daripada 15 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memulakan perjalanan hari kesembilan hari ini dari Kuantan ke Rompin dan seterusnya singgah di Mersing melibatkan jarak keseluruha­n 137 kilometer.

Sementara itu, Salmun berkata perasaan hormat kepada Jalur Gemilang boleh dizahirkan dengan memainkan peranan menggantik­an bendera yang rosak atau mengutipny­a jika nampak ia terjatuh.

Menurutnya, segenap lapisan masyarakat perlu memahami kepentinga­n bendera terhadap sesebuah negara sebagai panji yang mesti dipertahan­kan dalam sebarang bentuk dan keadaan.

“Penghormat­an terhadap Jalur Gemilang juga melambangk­an perasaan kasih dan sayang kepada negara ini. Umpamanya kalau bercinta, kita memberi bunga kepada pasangan sebagai tanda kasih. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia