Utusan Borneo (Sarawak)

Pantau keadaan di Lombok sebelum pergi

-

BUTTERWORT­H: Rakyat Malaysia yang merancang untuk ke Lombok, Indonesia dalam masa terdekat diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau perkembang­an semasa di pulau peranginan itu.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata mereka juga diminta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan memaklumka­n kepada Kedutaan Malaysia di sana.

“Setakat ini tiada masalah untuk rakyat Malaysia pergi ke Lombok cuma saya nasihatkan sebelum ke sana lebih baik pantau terlebih dahulu keadaan demi keselamata­n mereka dan kami di Kementeria­n Luar juga sentiasa memantau situasi di Lombok.

“Lagipun dalam keadaan sekarang ini kalau boleh jangan ke sana lagi... saya difahamkan banyak runtuhan dan gegaran susulan masih berlaku kesan daripada gempa bumi sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penajaan korporat program sukan pelajar di Sekolah Jenis Kabangsaan Cina Aik Keow di Teluk Air Tawar di sini. Pada majlis itu, sekolah berkenaan menerima sumbangan tiang gol, bola dan jaring untuk sukan bola keranjang.

Marzuki berkata usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Lombok ekoran gempa bumi itu telah dibuat dan semua mereka berjaya dibawa balik ke negara ini dengan selamat.

“Apa yang saya difahamkan semua mereka sudah dibawa balik secara berperingk­at sejak gempa bumi itu dan Kementeria­n Luar sekarang ini juga cuba mencari jalan untuk membantu Lombok.

“Kita mahu membantu membina semula infrastruk­ur yang rosak akibat bencana berkenaan dan pejabat Perdana Menteri sedang berusaha ke arah itu ( membantu),” katanya.

Lombok Utara mengalami gegaran gempa bumi berukuran tujuh pada skala Richter yang turut dirasai di sekitar Pulau Lombok, Pulau Sumbawa, Pulau Bali dan Jawa Timur pada jam 6.46 petang, Ahad lepas.

Sehingga kini, lebih 90 mangsa dilaporkan terkorban akibat bencana itu dan ratusan rumah serta bangunan runtuh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia