Utusan Borneo (Sarawak)

Negeri Sembilan catat 2,134 kes HFMD sehingga kelmarin

-

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan merekodkan 2,134 kes penyakit tangan, kaki dan mulut ( HFMD) bagi tahun ini sehingga kelmarin, kata Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepengguna­an negeri S. Veerapan.

Beliau berkata jumlah kes itu menunjukka­n peningkata­n sebanyak 256.9 peratus berbanding 598 kes pada tempoh sama tahun lepas.

“Taburan kes HFMD mengikut daerah setakat ini adalah 1,489 kes di daerah Seremban, Port Dickson (160), Jempol (113), Rembau (96), Jelebu (62), dan 58 kes di Tampin.

“Pada minggu lepas sahaja, bilangan kes HFMD didaftarka­n di Negeri Sembilan sebanyak 269 kes berbanding 268 kes didaftarka­n pada minggu sebelumnya. Sebanyak 190 kes dilaporkan di Seremban, Port Dickson (38), Jempol (16), Kuala Pilah (12), Jelebu (tujuh), Tampin (lima) dan satu kes di Rembau,” katanya dalam kenyataan semalam.

Veerapan berkata sebanyak enam premis masih ditutup sehingga kini melibatkan tadika, prasekolah dan taska akibat penyakit HFMD.

Beliau berkata tadika yang ditutup ialah Tabika Permata Perpaduan di Seremban, Tadika Little Caliph di Kuala Pilah dan Tadika Pasti ArRaudhah di Jempol manakala dua prasekolah ditutup iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seremban 2A dan SK Taman Tuanku Jaafar 2 serta sebuah taska iaitu Taska Permata Kampung Mengkan di Jempol.

“Setakat ini tiada sekolah ditutup sepenuhnya (akibat HFMD) di negeri ini,” katanya.

Veerapan berkata pihaknya telah menjalanka­n aktiviti pendidikan kesihatan dengan mengadakan sesi dialog bagi memberi pencerahan tentang penyakit HFMD kepada guru, pengusaha tadika dan taska dalam menangani penyakit itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia