Utusan Borneo (Sarawak)

Bapa pilu angkat jenazah anak mangsa lemas

-

SETIU: Perasaan pilu tidak dapat disembunyi­kan oleh Norizan Nasir, 43, bapa kepada Muhammad Nor Hafizul, 12, yang ditemui lemas berdekatan Boardwalk Setiu, pagi semalam.

Kepiluan makin jelas terpancar di wajahnya ketika beliau mengangkat sendiri jenazah anaknya itu dari sungai ke bot pada kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya namun beliau bersyukur jenazah anaknya ditemui setelah dilaporkan lemas pada jam 1.30 petang kelmarin.

“Kami bernasib baik apabila adik saya Samsudin Nasir, 30, menemui Hafizul dan saya sendiri yang angkat jenazah arwah naik ke bot sebelum bomba datang untuk bantu bawa naik ke darat.

“Saya dan saudara-mara mengambil inisiatif untuk berada di empat penjuru kawasan anak saya dikatakan lemas dengan dua di antara kami berada di tepi sungai, manakala saya dan seorang adik saya bertindak memanjat pokok untuk melihat dari atas,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Setiu, di sini semalam.

Menurut Norizan tindakan mereka memanjat pokok untuk mendapatka­n pemandanga­n lebih jauh adalah berdasarka­n pengalaman ‘orang laut’ yang disarankan oleh Samsudin yang merupakan seorang pelaut.

Pemergian Hafizul juga, katanya, memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga apatah lagi beliau sendiri telah memesan kepada arwah agar tidak ke manamana ketika beliau dan isteri keluar bekerja.

“Sebelum keluar pergi kerja saya dah pesan dekat dia duduk rumah sahaja, tak payah pergi mana-mana. Tapi arwah kata dia nak duduk di rumah sahaja, takut abang (Mohammad Nor Haris,13) yang keluar.

“Bila saya balik rumah jam 12 tengah hari abang dia beritahu saya adik pergi Boardwalk dan tak lama lepas tu saya terima panggilan orang kampung kata anak saya lemas,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa Haris berkata beliau telah melarang adiknya agar tidak ke Boardwalk tetapi laranganny­a tidak diendahkan mangsa yang tetap ke sana bersama rakan-rakan dengan menunggang motosikal kawan.

“Selalu saya pergi dengan dia tapi semalam (kelmarin) saya tak pergi sebab kaki luka akibat jatuh motor dan saya duduk rumah sahaja,” katanya.

Jenazah Hafizul dikebumika­n di Tanah Perkuburan Kampung Fikri selepas solat Zohor semalam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia