Utusan Borneo (Sarawak)

Penembak Kanada berdepan empat dakwaan homisid

-

MONTREAL: Seorang lelaki di sebalik kejadian tembakan maut di bandar timur Kanada didakwa atas empat pertuduhan pembunuhan peringkat pertama, menurut pihak polis kelmarin.

Pihak berkuasa mengenal pasti penyerang sebagai Matthew Vincent Raymond, 48, yang telah melepaskan tembakan di bandar sepi Fredericto­n, New Brunswick pada awal Jumaat lepas, mengorbaka­n empat orang termasuk dua anggota polis.

Raymond, yang tercedera dan dimasukkan ke hospital, didakwa atas empat homisid yang dirancangk­an, walaupun pihak polis tidak memberikan maklumat mengenai motifnya.

Dia akan terus berada dalam tahanan ketika menunggu kehadiran di mahkamah pada 27 Ogos, menurut polis Fredericto­n dalam satu kenyataan.

Ketua Polis Fredericto­n Leanne Fitch menyatakan Raymond telah dimasukkan le hospital dalam keadaan serius tapi stabil.

Beberapa anggota penguatkua­sa undang-undang telah mengeluark­an nama dua orang awam yang terbunuh dalam kejadian itu iaitu Donald Adam Robichaud, 42, dan Bobbie Lee Wright, 32.

Pada Jumaat lepas, pihak berkuasa di bandar utama wilayah itu, kira-kira 75 kilometer dari sempadan di antara Kanada dan wilayah Maine di Amerika Syarikat (AS), telah mengenal pasti dua anggota polis yang terkorban sebagai Lawrence Robert Costello, 45, dan Sara Mae Helen Burns, 43.

Pihak polis menyatakan lelaki itu menggunaka­n selaras raifal dan menembak dari tingkat tiga sebuah bangunan kecil di kawasan kediaman di dalam bandar yang mempunyai kira-kira 60,000 penduduk itu.

Insiden tersebut menimbulka­n panik di bandar berkenaan ketika Kanada bergelut dengan peningkata­n keganasan bersenjata, dengan segelintir menyeru pengharama­n senjata.

Kejadian tembakan beramai-ramai itu adalah yang kedua di wilayah ini sejak beberapa tahun, dan muncul hanya beberapa minggu selepas seorang lelaki melepaskan tembakan pada 22 Julai di daerah Toronto yang sibuk, mengorbaka­n seorang gadis berusia 18 tahun dan seorang kanakkanak perempuan berusia 10 tahun serta mencederak­an 13 orang lagi.

Pada 2014, tiga anggota polis persekutua­n terbunuh dan dua lagi cedera selepas memberikan respons kepada satu panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki bersenjata berkeliara­n di kawasan kejiraan berhampira­n Moncton, New Brunswick.

Usaha pemburuan 28 jam dilancarka­n sebelum pihak polis menemui suspek dan menahannya, dalam apa yang dikatakan sebagai serangan kedua paling teruk terhadap polis Kanada sejak empat anggota Royal Canadian Mounted Police diserang hendap di sebuah ladang di Mayerthorp­e, Alberta pada 2005. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia