Utusan Borneo (Sarawak)

GST lebih bebankan golongan miskin

-

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mempertaha­nkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk memansuhka­n Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) yang terbukti lebih membebanka­n golongan miskin secara tidak adil berbanding kalangan kaya.

“(Datuk Seri) Najib (Tun Razak) lupa bahawa GST telah memberi kesan terhadap segenap lapisan rakyat Malaysia, terutamany­a golongan miskin dan tidak berkemampu­an yang tidak dikenakan cukai sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurut Lim, ini sekali gus meletakkan bebanan kewangan berterusan ke atas rakyat biasa sehinggaka­n mereka tiada pilihan untuk mengubah kerajaan buat pertama kalinya selepas 61 tahun.

Malah, rakyat juga sedar apabila tiada perubahan (kerajaan), ini bermakna GST akan terus kekal memberi tekanan dan membebanka­n ekonomi mereka.

Reaksi beliau itu sebagai menjawab kenyataan berterusan Najib yang mempertaha­nkan GST dengan mendakwa cukai berkenaan hanya dikenakan ke atas golongan kaya dan pemansuhan­nya hanya menguntung­kan kalangan mewah dan usahawan.

Bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu turut mendakwa kehilangan punca pendapatan daripada golongan kaya serta usahawan besar tidak lagi dapat digunakan bagi membantu penduduk miskin daripada kumpulan B40.

Malah, Najib turut menyelar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyatakan bahawa beliau berharap “Malaysia Baharu itu bukan saja untuk kalangan kaya dan usahawan besar.”

“Kerajaan Malaysia Baharu sudah menunaikan janji kita dengan menghapusk­an GST. Amaran kerajaan sebelum ini yang menyatakan Malaysia akan jatuh muflis dengan ketiadaan GST juga (terbukti) tidak benar sama sekali.

“Bukan sahaja kerajaan tidak muflis, bahkan bayaran BR1M (kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup atau BSH), masih lagi diteruskan meskipun tanpa kewujudan GST,” katanya.

BSH disasarkan kepada golongan kumpulan B40.

“(Oleh itu) bagaimana pula Najib boleh mendakwa golongan miskin ini tidak dibantu sedangkan bayaran terakhir BSH tahun ini akan diagihkan bermula 15 Ogos iaitu seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha? Sebanyak 4.1 juta rakyat akan menerima BSH yang menelan anggaran kos RM1.6 bilion,” tegasnya.

Malah, tegasnya, walaupun harga minyak antarabang­sa meningkat sebanyak 42 peratus daripada Bajet 2018 dengan anggaran harga AS$52 setong hingga AS$74 setong, harga RON95 serta diesel sebaliknya tetap kekal masing-masing pada RM2.20 dan RM2.28 seliter yang membabitka­n subsidi petrol kira-kira 30 sen seliter berjumlah RM3 bilion yang ditanggung kerajaan sehingga penghujung tahun 2018. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia