Utusan Borneo (Sarawak)

Ketua polis negeri, pegawai kanan gagal tangani isu judi, rasuah akan dibuang kerja

-

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negeri dan pegawai kanan yang gagal menangani isu seperti judi dan rasuah di kawasan yang dipertangg­ungjawabka­n kepada mereka akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata ketika ini, beberapa pegawai kanan polis telah dikenal pasti dan ditukarkan serta-merta sebelum dikenakan tindakan tatatertib.

“Tindakan tatatertib terhadap mereka (pegawai kanan polis) bergantung kepada merit kesalahan yang dilakukan.

“Contohnya, pertukaran di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak itu, kita (pengurusan) akan ambil tindakan susulan terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpuna­n Bulanan Peringkat Bukit Aman di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Integrasi dan Pematuhan Standard ( JIPS) Bukit Aman telah mengenakan tindakan tatatertib kepada 926 pegawai dan anggota bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

“Berdasarka­n statistik Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seramai 149 anggota polis ditahan atas kesalahan rasuah tahun lepas berbanding 179 anggota pada 2016.

“Walaupun jumlah ini menunjukka­n penurunan, namun persepsi negatif masyarakat terhadap ketelusan PDRM masih sama,” katanya

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya tidak akan berkomprom­i ke atas pegawai dan anggota yang melakukan kegiatan jenayah.

Oleh itu, setiap operasi dan serbuan yang dijalankan akan disertai pegawai JIPS bagi membendung aktiviti salah laku, katanya.

Pada 2 Ogos lepas, Mohamad Fuzi berkata tindakan menukar Ketua Polis Daerah (KPD) Gombak, ACP Ali Ahmad dan beberapa pegawai dengan kadar serta- merta adalah kerana kegagalan mereka membendung kegiatan judi haram di daerah berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia