Utusan Borneo (Sarawak)

Polis ambil keterangan bekas KP MEIO berhubung surat kepada CIA

-

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid berhubung surat yang ditulisnya kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Tanpa mendedahka­n bila keterangan Hasanah diambil, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya juga sudah memanggil beberapa lagi pegawai MEIO bagi membantu siasatan berkenaan.

Katanya, polis juga akan mengambil keterangan beberapa pegawai MEIO di Washington.

“Kemudian kita akan hantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpuna­n Bulanan Peringkat Bukit Aman di sini, semalam.

Surat Hasanah bertarikh 4 Mei itu ditujukan kepada Pengarah CIA Gina Haspel meminta Amerika Syarikat menyokong pentadbira­n bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Pada 31 Julai lepas, Hasanah meminta polis menyiasat dalang yang membocorka­n isi kandungan surat itu.

Hasanah yang membuat laporan polis berkata kandungan surat itu bukanlah perkara yang aneh berbentuk derhaka kerana mandat MEIO adalah menjaga keselamata­n negara.

Ditanya berhubung kes 17 pengawal keselamata­n Jabatan Perdana Menteri (JPM) disyaki terlibat dalam penyelewen­gan dana PRU14, Fuzi berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung kehilangan wang itu.

“Tiada laporan polis dari mana-mana parti politik diterima berhubung kehilangan dana PRU14 itu ,” katanya.

Seramai 17 pegawai dan pengawal keselamata­n termasuk seorang pegawai keselamata­n gred 52 ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kes penyelewen­gan dana berjumlah RM3.5 juta.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyampaik­an anugerah pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 51 pegawai atas jasa dan pengorbana­n kepada negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia