Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada laporan pemandu bas rempuh kenderaan dipukul

-

KUALA LUMPUR: Polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan pemandu bas henti-henti milik RapidKL dipukul beberapa individu selepas merempuh tujuh kenderaan di Jalan Ampang di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddi­n Abdullah berkata buat masa ini pihaknya menjalanka­n siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian saringan air kencing mendapati pemandu bas itu positif Metamfetam­in. Kita akan mempercepa­tkan proses air kencing untuk dihantar ke makmal forensik dan sekiranya positif juga kita akan mendapatka­n arahan untuk menuduh di bawah kes dadah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jihad Memerangi Dadah di Perumahan Awam Sri Selangor di sini semalam.

Kelmarin, pemandu bas berusia 32 tahun itu direman empat hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan selepas dia dipercayai memandu bas di bawah pengaruh dadah sewaktu kejadian rempuhan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, sebanyak tujuh kenderaan rosak teruk selepas dirempuh bas yang dipandu seorang lelaki yang disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan di hadapan Bangunan RISDA di Jalan Ampang di sini. - Sementara itu, Shaharuddi­n berkata pihaknya menolak dakwaan laporan akhbar tempatan semalam kononnya pusat hiburan gay di Jalan Sultan Ismail di sini ‘kebal’ daripada pengawasan pihak berkuasa.

Beliau berkata pihak polis ada membuat pemeriksaa­n di kelab hiburan itu pada hujung Julai lepas.

“Saya akan semak rekodrekod sebelum ini sama ada operasi dibuat, tetapi dalam pengamatan saya, polis Dang Wangi ada membuat pemeriksaa­n pada 28 Julai lepas,” katanya.

Awal pagi semalam, dilaporkan pusat hiburan yang didakwa sering menjadi tumpuan golongan gay itu diperiksa dalam Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) Siri 46.

Antara agensi terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n ( JAWI) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Setiausaha Kementeria­n Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikshan yang menyertai serbuan itu dilaporkan mendakwa pusat hiburan berkenaan memiliki lesen perniagaan yang sah namun hasil risikan, ia tidak pernah diperiksa sejak beroperasi lebih 30 tahun. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia