Utusan Borneo (Sarawak)

Nizar akui pernah luluskan 11 hak milik kekal tanah di kampung baru

-

IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui bertanggun­gjawab meluluskan hak milik kekal tanah kepada 11 penduduk kampung baru di Kuala Rui, Gerik ketika beliau menjawat jawatan Menteri Besar Perak pada tahun 2008.

Mohammad Nizar yang kini memegang portfolio Pengerusi Jawatankua­sa Pelaburan, Industri dan Pembanguna­n Wilayah berkata ini dilakukann­ya selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada pengamal undang-undang.

“Itu merupakan manifesto pakatan rakyat ketika itu saya hanya sempat mengeluark­an sebanyak 11 hak milik kekal tanah di kampung berkenaan dan berlaku di saat akhir saya menjawat jawatan itu.

“Tetapi saya tidak tahu apa status hak milik tanah kampung itu selepas kerajaan baharu ambil alih. Tetapi itu yang saya lakukan 10 tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas program Sepagi Bersama ADUN di sini semalam.

Semalam, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming melaporkan beliau mahukan kerajaan negeri memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung- kampung baru seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lepas.

Menurut Nga, kuasa untuk meminda perkara hal ehwal tanah berada bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN).

Bagaimanap­un, pada Isnin lepas, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dalam pergulunga­n perbahasan atas Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 berkata pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baru kerana ia bercanggah dengan Perlembaga­an Persekutua­n.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Menurut Mohammad Nizar, ketika pentadbira­n beliau selama 11 bulan itu, dasar hak milik kekal tanah telah diperuntuk­kan kepada kampung tersusun, kampung baru dan kampung adat Orang Asli.

“Paling banyak masa itu adalah kampung tersusun yang melibatkan 380 kampung, iaitu melibatkan 112,000 hak milik tapi saya hanya sempat meluluskan 11 penduduk di kampung baru di Gerik sahaja,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia