Utusan Borneo (Sarawak)

Elak pemilikan media oleh parti politik untuk perangi salah maklumat, kata Gobind Singh

-

KUALA LUMPUR: Pemilikan media oleh parti politik perlu dielakkan untuk memerangi salah maklumat, dan sekali gus mewujudkan persekitar­an lebih baik untuk media, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Bagaimanap­un, beliau berkata keputusan untuk mengharamk­an perkara itu perlu diputuskan oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian pada perasmian ‘Think Media Malaysia 2018 with Google’ di sini, semalam yang turut dihadiri Sajith Sivanandan, pengarah urusan – Malaysia, Vietnam, Filipina dan New Emerging Markets di Google.

Gobind Singh berkata, kementeria­n sentiasa terbuka untuk berbincang dengan pihak berkepenti­ngan relevan untuk mencari hala tuju terbaik bagi negara ini dan rakyatnya.

“Kami bersedia untuk menyokong dan bekerjasam­a dengan semua pihak untuk memastikan persekitar­an kondusif bagi pengamal media.

“Sebagai kerajaan yang menghormat­i kebebasan maklumat dan bersuara, kami bukan sahaja menjangkak­an standard tinggi daripada se- mua pihak berkepenti­ngan yang terlibat tetapi ia juga perlu berserta tanggungja­wab berat untuk menyebar luas berita dan maklumat berwibawa,” katanya.

Gobind Singh berkata, kementeria­nnya kini dalam proses mencadangk­an pindaan terhadap beberapa peruntukan berkaitan dengan berita palsu yang telah digunakan oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Sebagai contoh, mengikut Seksyen 233, adalah satu jenayah untuk menyebarka­n bahan yang disifatkan bahaya tetapi apa itu ‘bahaya’ dan bagi pihak tertentu, ia masih boleh diperdebat­kan dan samar-samar?” katanya.

Berhubung Akta Antiberita Tidak Benar yang dimansuhka­n minggu lepas di Parlimen, Gobind Singh berkata, akta itu telah diluluskan secara tergesa-gesa pada awal April iaitu beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei.

“Waktu dan keadaan tergesa- gesa meluluskan rang undang-undang (Akta Antiberita Tidak Benar) amat mencurigak­an dan membawa kepada spekulasi ia alat yang mahu digunakan terhadap Pakatan Harapan berikutan pakatan itu cuba meraih sokongan dalam pilihan raya umum yang sengit itu dan sesuatu yang boleh membawa kepada pertukaran kerajaan.

“Ini, sudah pasti, kini sudah menjadi satu hakikat,” katanya.

Gobind Singh turut memberikan contoh bagaimana isu 1MDB, yang disifatkan­nya sebagai skandal kewangan terbesar di dunia, adalah sesuatu yang berulang kali cuba untuk tidak diperbesar­kan oleh kerajaan ketika itu.

“Tindakan saman turut diambil terhadap ahli Parlimen yang menyuaraka­nnya,” katanya, dan menurutnya, laman web dan laman Facebook diwujudkan untuk menyebarka­n propaganda pro-BN dan untuk menimbulka­n kebencian terhadap pembangkan­g.

Beliau turut menegaskan bahawa, setiap orang tidak dapat menafikan bahawa kewujudan berita dan maklumat palsu adalah benar dan ia perlu ditangani.

“Apa yang menyebabka­n berlaku ‘berita palsu’ perlu dikaji mengikut rujukan dan konteks spesifik,” katanya.

Gobind Singh berkata, kerajaan dengan itu bercadang mengadakan dialog dan perbincang­an membina dengan semua pihak berkepenti­ngan dalam usaha memerangi masalah berita palsu secara efektif. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PERANGI SALAH MAKLUMAT: Gobind Singh ketika berucap pada perasmian ‘Think Media Malaysia 2018 with Google’ di Kuala Lumpur semalam.
— Gambar Bernama PERANGI SALAH MAKLUMAT: Gobind Singh ketika berucap pada perasmian ‘Think Media Malaysia 2018 with Google’ di Kuala Lumpur semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia