Utusan Borneo (Sarawak)

Ringan beban golongan B40 di Seri Setia fokus utama calon PH

-

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar tekad mahu memperkasa ekonomi kumpulan isi rumah berpendapa­tan B40 yang sebahagian besar menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan itu.

Beliau berkata, kumpulan B40 yang berpendapa­tan isi rumah bawah RM3,000 sebulan, merangkumi antara 40 hingga 50 peratus daripada jumlah pengundi di DUN Seri Setia yang menerima kesan langsung daripada kos sara hidup sekarang.

“Golongan B40 ini juga akan sentiasa diberi keutamaan sebagai penerima manfaat menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan PH.

“Mereka akan didatangi dan disantuni secara senyap supaya manfaat program IPR seperti kad KISS, Inisiatif Peduli Siswa dan Tuisyen Rakyat dapat dinikmati sepenuhnya, tanpa ada yang tertinggal,” katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan PH DUN Seri Setia di sini semalam.

PRK DUN Seri Setia menyaksika­n perlawanan satu lawan satu antara Halimey dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Ia pilihan raya kedua diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, berikutan kematian penyandang­nya Prof Dr Shaharuddi­n Badaruddin pada 2 Ogos lepas.

Dalam pada itu, Halimey berkata, antara masalah utama yang sering dialami golongan B40 di pangsapuri kos rendah DUN Seri Setia adalah berkaitan kemudahan lif dan pam air yang sebahagian besarnya berpunca daripada kegiatan vandalisme.

“Justeru, antara langkah proaktif yang saya akan ambil sekiranya memenangi PRK ini adalah dengan memasang kamera litar tertutup yang mempunyai skrin khas merakam pelaku vandalisme, selain mencadang Kelab Rukun Tetangga diaktifkan semula bagi memastikan keselamata­n di kawasan pangsapuri kos rendah di DUN Seri Setia.

“Di samping itu, satu program disusuli dengan penubuhan Kelab Kaunseling Rakyat akan dilaksanak­an bagi memberi tumpuan khusus untuk mengenalpa­sti rakyat yang mempunyai masalah jiwa dan seumpama,” katanya.

Menurut Halimey, yang pernah menjadi Pengerusi Basmi Kemiskinan Bandar di Petaling Jaya, beliau mempunyai pengalaman luas membimbing golongan B40 meningkatk­an pendapatan mereka sejak dua tahun lepas, khususnya mengajar mereka membuat beg kitar semula daripada kain rentang ataupun poster. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia