Utusan Borneo (Sarawak)

12 kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi insiden lemas

-

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti 12 lokasi di seluruh negara yang dikategori­kan sebagai kawasan berisiko tinggi bagi insiden lemas.

Dalam satu kenyataan semalam, Majlis Keselamata­n Aktiviti Air Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata sehubungan itu JBPM telah diarahkan mengadakan kawalan keselamata­n di kesemua kawasan terbabit sepanjang musim cuti persekolah­an ini.

“Inisiatif ini diambil sebagai usaha kementeria­n untuk mengurangk­an insiden lemas yang telah mencatatka­n peningkata­n dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi termasuk lima di Selangor iaitu Sungai SKC Kampung Timah di Sungai Tinggi; Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu; Sungai Gasi di Sungai Buloh, Air Terjun Sungai Sendat di Ulu Yam dan Empangan Semenyih.

Kawasan lain ialah Pantai Nipah di Bachok, Muara Tok Bali di Pasir Puteh dan Sungai Kampung Sabak, Pengkalan Chepa (Kelantan); Air Terjun Lata Berembun di Raub dan Air Terjun Chamang, Bentong (Pahang); serta Sungai Kampung Batu Payung di Tawau, Sabah dan Teluk Bahang, Batu Feringgi di Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu JBPM telah merekodkan 186 insiden kejadian lemas bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan insiden di sungai dan tali air mencatatka­n jumlah paling tinggi iaitu sebanyak 116 kes.

Pada masa sama Majlis itu menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak yang menjalanka­n sebarang aktiviti air. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia