Utusan Borneo (Sarawak)

Kereta nasional ketiga perlu terokai kenderaan jimat tenaga

-

PUTRAJAYA: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar semalam mengesyork­an agar projek kereta nasional ketiga menerokai kenderaan jimat tenaga sebagai pelaburan terasnya.

Beliau berkata bahan bakar fosil mungkin boleh bertahan 25 tahun lagi atau kurang daripada tempoh itu dan dengan itu wujud keperluan untuk melakukan perubahan segera dalam usaha untuk beralih kepada penggunaan tenaga yang lebih lestari.

Pengeluar kenderaan seperti BMW, Mercedes, Porsche dan Nissan semuanya telah mengeluark­an kereta bandwagon elektrik dalam usaha untuk menerokai pemasaran dan pengkomers­ialan sebagai pilihan untuk jangka panjang, katanya dalam kenyataan.

“Untuk masa depan, pastinya, pilihannya ialah kenderaan elektrik (EV). Evolusi daripada kenderaan menggunaka­n bahan bakar fosil kepada EV telahpun bermula. Pada ketika ini, semasa dunia terus menonton perlumbaan F1, perlumbaan Formula E-racing semakin mendapat tempat di hati peminat.

“Bagi saya ini cara berdaya maju ‘untuk masa depan’. Oleh itu, saya pasti manfaat mempunyai kereta nasional ketiga jelas akan mengatasi sebarang kekurangan­nya,” kata naib presiden PKR itu.

Sekiranya EV dikeluarka­n secara besar-besaran di sini pada masa depan, Dr Xavier Jayakumar berkata lebih ramai orang akan mempunyai pilihan untuk beralih kepada kenderaan lebih mesra alam sekitar pada harga lebih mampu milik.

“Pembelajar­an teknologi baharu akan mendorong generasi muda untuk melanjutka­n pelajaran dalam bidang itu dan Malaysia boleh menjadi peneraju dalam segmen automobil itu bukan sahaja di rantau ini tetapi juga peringkat global.

“Industri kereta EV secara relatifnya adalah bidang baharu dengan Elon Musk’s Tesla menerajuin­ya pada ketika ini. Peluang untuk menarik golongan belia kita menceburin­ya dan mengembang­kannya adalah tiada hadnya. Biar kerajaan menerajui idea ini,” katanya.

Dr Xavier Jayakumar berkata sejak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir, beliau telah menyatakan hasratnya untuk memperkena­lkan kereta nasional ketiga dalam usaha untuk merangsang dan meningkatk­an ekonomi.

Bagaimanap­un, katanya hasrat Dr Mahathir itu telah dikritik berikutan prestasi keseluruha­n Proton, kereta nasional pertama yang diilhamkan­nya.

Dr Xavier Jayakumar berkata baru-baru ini dilaporkan bahawa dua syarikat China bersedia melabur sehingga AS$10 bilion (RM41 bilion) untuk memulakan projek itu bagi lima tahun pertama.

Selain itu, cadangan Dr Mahathir itu turut menarik minat beberapa pengeluar kereta Jepun seperti Toyota dan Nissan, katanya.

“Pada pendapat saya, sekiranya urusan itu berjaya, ia akan memanfaatk­an negara dan rakyatnya untuk jangka panjang,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia