Utusan Borneo (Sarawak)

PAS guna media sosial galak penduduk keluar mengundi

-

PETALING JAYA: Media sosial antara pendekatan yang akan digunakan oleh PAS untuk menggalakk­an pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, 8 September ini.

Calon PAS bagi PRK itu, Dr Halimah Ali berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatk­an peratusan keluar mengundi supaya tidak menjadi seperti PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas, yang peratusan keluar mengundi gagal mencecah 50 peratus.

Peratusan itu jauh lebih rendah daripada sasaran 80 peratus yang dibuat oleh Suruhanjay­a Pilihan Raya.

“Sasaran kita ( PAS) adalah pengundi di bawah umur 40 tahun kerana kirakira 37 peratus pengundi terdiri daripada golongan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di Apartmen Seri Menanti di sini, semalam.

Pada PRK DUN Seri Setia, Dr Halimah menghadapi pertanding­an satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan ( PH) Halimey Abu Bakar.

Kekosongan kerusi DUN itu berikutan kematian penyandang­nya, Prof Dr Shaharuddi­n Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

Menurut Dr Halimah, PRK berkenaan adalah sangat penting dan akan menjadi ‘thermostat­e’ kepada kerajaan PH sama ada penduduk di DUN itu boleh menerima baik mereka selepas tiga PRK diadakan dalam tempoh 100 hari PH mentadbir negara.

Selain PRK DUN Seri Setia, PRK DUN Balakong akan diadakan serentak pada 8 September ini susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas.

Mengulas tentang program Ziarah Kasih, bekas anggota Exco kerajaan Selangor itu berkata ia bertujuan memperkena­lkan diri beliau selain beramah mesra dengan masyarakat setempat terutama golongan miskin.

“Pada program ini saya dapat menziarahi serta melihat keadaan orang miskin dan orang sakit, seperti sakit jantung atau selepas menjalani pembedahan, dalam suasana kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha esok (hari ini),” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia