Utusan Borneo (Sarawak)

Abdullah Sani mohon maaf kepada Dr Mahathir

-

KLANG: Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid semalam memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas kenyataann­ya yang mengaitkan Perdana Menteri dengan usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan.

Menurut calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu pihaknya telah menghantar surat permohonan maaf tersebut kepada pejabat Perdana Menteri kira-kira jam 9.40 pagi semalam.

“Setelah diberi nasihat, penjelasan dan arahan oleh Datuk Seri Anwar berhubung pelaksanaa­n peralihan kuasa menerusi panggilan telefon selama 41 minit semalam, dengan ini saya memohon maaf.

“Permohonan maaf itu dibuat atas keterlanju­ran bicara saya dan semoga kebimbanga­n saya tentang usaha dan cubaan menggagalk­an peralihan kuasa tersebut adalah perkara yang tidak benar,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Ahli Parlimen itu sebelum ini mendakwa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Pe- nasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin cuba menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Beliau membuat dakwaan itu ketika berkempen untuk calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli di Seremban pada 12 Ogos lepas.

Dalam pada itu, Abdullah Sani berkata, beliau akan membangkit­kan semula isu itu sekiranya masih ada pihak luar yang cuba menggagalk­an peralihan kuasa berkenaan.

Ini kerana katanya, pengukuhan gabungan Pakatan Harapan (PH) adalah agenda yang wajib dipertahan­kan.

“Saya tidak teragak-agak untuk membangkit­kan semula isu peralihan kuasa sekiranya masih ada ‘tangan langit’ yang tidak mempunyai locus standi yang cuba menyekat atau mewujudkan konspirasi untuk menafikan konsensus PH (melantik Anwar sebagai perdana menteri kelapan).

“Saya ingin tegaskan bahawa mereka di luar sana yang tiada kena- mengena dengan PH jangan campur tangan atau cuba gagalkan peralihan kuasa ini,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia