Utusan Borneo (Sarawak)

Keuntungan bersih AMMB naik 5.1 peratus kepada RM383.25 juta

-

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd mencatatka­n keuntungan bersih sebanyak RM383.25 juta untuk suku pertama berakhir 30 Jun 2018, berbanding dengan RM364.54 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas, disokong oleh pertumbuha­n pinjaman yang lebih baik dalam segmen yang disasarkan seperti hartanah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pendapatan bagi suku juga meningkat 4.4 peratus kepada RM2.17 bilion.

“Kami terus melihat pertumbuha­n pinjaman dalam segmen sasaran kami. Pinjaman hartanah mengekalka­n momentum dan berkembang 4.8 peratus dari tahun hingga tarikh kepada RM27.7 bilion,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd Tahir dalam satu kenyataan semalam.

Pinjaman PKS menokok 2.8 peratus dari tahun ke tarikh kepada RM17.2 bilion dan kemudahan penerimaan kad naik 4.3 peratus kepada RM2.1 bilion.

“Secara keseluruha­n, kami dirangsang oleh pertumbuha­n pinjaman bagi suku tahun kelapan berturut- turut,” katanya.

Hasil daripada usaha untuk melaksanak­an penjimatan kos yang lebih baik pada sepanjang tahun lepas, perbelanja­an turun sebanyak tujuh peratus dari tahun ke tahun kepada RM513 juta.

“Kos asas kami sekarang, adalah lebih munasabah selepas selesainya Skim Pemisahan Bersama. Perbelanja­an operasi yang lain juga berjaya dikurangka­n selepas kami menguruska­n kos dengan lebih baik,” katanya.

AMMB ketika bercakap mengenai baki suku tahun kewangan, berkata ia akan terus memberi tumpuan untuk memacu momentum pertumbuha­n pendapatan, sejajar dengan strategi segmen dan produk utama.

“Pertumbuha­n akaun simpanan dan semasa menjadi salah satu daripada keutamaan kami pada tahun ini,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan juga telah memulakan program transforma­si kecekapan perniagaan selama tiga tahun bertujuan untuk meraih kecekapan kos kasar sebanyak RM300 juta termasuk bagi mencapai sasaran nisbah kos kepada pendapatan sebanyak 55 peratus dalam tahun kewangan semasa.

Ia juga akan mengetatka­n kawalan ke atas kos, pelaburan, dan pada masa yang sama terus meningkatk­an kecekapan operasi.

“Kami berhasrat untuk mengukuhka­n kedudukan modal kami dan memberikan pembayaran dividen yang berterusan kepada pemegang saham kami.

“Untuk mencapai matlamat ini, kami memacu inisiatif ke arah memperbaik­i kecekapan modal dan pulangan ke atas aset berwajaran risiko,” kata AMMB Holdings. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia