Utusan Borneo (Sarawak)

LAGI MANGSA RABIES MENINGGAL DUNIA

-

KUCHING: Kerana menyelamat­kan isteri yang digigit seekor anjing liar, seorang lelaki menjadi mangsa jangkitan rabies dan telah disahkan meninggal dunia pada jam 10.15 pagi kelmarin.

Mangsa yang berumur 44 tahun dari Jalan Matang, dekat sini dimasukkan ke wad Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 Ogos lepas dan hasil ujian sampel klinikal yang dijalankan mengesahka­nnya positif jangkitan rabies.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam, berdasarka­n maklumat, mangsa tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain namun pernah memukul seekor anjing liar yang telah menggigit isterinya pada 13 Januari lepas.

Katanya ketika itu, dia mempunyai luka terbuka di tangan kanan dan anjing yang dipukulnya juga mati.

“Punca kematian akibat rabies encephalit­is. Kementeria­n Kesihatan Malaysia mengucapka­n takziah kepada keluargany­a,” katanya.

Menjelaska­n lanjut, Dr Noor Hisham berkata, mangsa tidak mendapatka­n sebarang rawatan walaupun telah membawa isterinya ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi.

Dia mula mengalami sakit di tangan kanannya pada awal Ogos ini dan telah mendapatka­n rawatan pesakit luar pada 6 Ogos lalu.

Keadaannya bertambah teruk sejak 11 Ogos dengan mengalami gejala kebas, lemah tangan kanan, tidak dapat bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia.

Bagaimanap­un, buat masa ini isteri mangsa berada dalam keadaan sihat dan telah melengkapk­an jadual vaksinasi anti-rabies sebanyak empat dos.

Sejak rabies diisytihar­kan wabak di Sarawak pada 30 Jun 2017 sehingga 21 Ogos 2018, jumlah kes dalam kalangan manusia adalah 13 kes termasuk 12 kematian, dengan kadar kematian 92.3 peratus.

Hanya terdapat seorang pesakit yang telah didiscaj dari hospital namun dengan komplikasi neurologi yang teruk dan kini dirawat di rumah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia