Utusan Borneo (Sarawak)

MANGSA MAJIKAN MIANG

Amah tertusuk besi ketika cuba lari daripada dicabul majikan.

- Oleh Michael Ubam

SIBU: Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas dipercayai mencabul pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya di Jalan Ramli Amit malam kelmarin.

Susulan itu, mangsa yang berusia 18 tahun, cedera selepas tertusuk besi pagar pada betis kirinya ketika cuba melarikan diri daripada majikannya yang didakwa cuba merogolnya.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek yang berumur 81 tahun itu ditahan sekitar tengah hari semalam bagi membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.

"Mangsa telah memanjat pagar rumah majikannya tetapi betis kirinya tertusuk pada besi pagar ketika cuba melarikan diri pada jam 11 malam kejadian," katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, polis yang dimaklumka­n mengenai insiden itu pergi ke lokasi dan mendapati mangsa masih berada di atas pagar dengan besi menembusi betisnya.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu kemudian dikerah membantu memotong pagar dan mangsa seterusnya dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

Stanley ketika mengulas lanjut berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa mendakwa majikannya cuba mencabulny­a sebanyak dua kali pada hari kejadian.

"Terdahulu ketika menyiram pokok bunga, mangsa dipanggil masuk ke dalam rumah sebelum suspek mengunci pintu dan bertindak memeluk dan mencium serta meramas buah dadanya pada jam 2 petang," katanya.

Pada jam 3.30 petang, suspek menarik tangan mangsa dan diajak masuk ke dalam bilik tetapi mangsa enggan dan terus beredar.

Stanley berkata, mangsa yang ketakutan dengan tingkah laku majikan bertindak melarikan diri pada malam itu namun mengalami kecederaan selepas betis kirinya tertusuk pada besi pagar.

"Besi pagar itu terpaksa dipotong dan masih lagi melekat di kaki mangsa sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu," katanya.

Mangsa mula bekerja dengan suspek sejak 3 Ogos lalu dan pasportnya masih dalam simpanan majikannya.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul," tambahnya.

 ??  ??
 ??  ?? ELAK DICABUL: Mangsa terbaring di atas pengusung dengan besi pagar yang telah dipotong masih tertusuk di betis kirinya.
ELAK DICABUL: Mangsa terbaring di atas pengusung dengan besi pagar yang telah dipotong masih tertusuk di betis kirinya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia