Utusan Borneo (Sarawak)

PH semakin diterima di beberapa kampung di DUN Batu Kitang

-

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak yakin beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang akan menjadi kawasan putih bagi Pakatan Harapan ( PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Publisiti dan Sosialis Belia DAP Sarawak Abdul Aziz Isa mendakwa ia berikutan pengundi di kawasan itu mula beralih sokongan kepada DAP khasnya dan PH amnya.

Dakwanya, salah satu kampung yang mula menerima DAP ialah Kampung Sandong di Jalan Datuk Stephen Yong dekat sini, yang sebelum ini merupakan penyokong tegar Barisan Nasional (BN).

“Kampung Sandong adalah kubu kuat BN sebelum ini, kami tidak pernah menang di sini tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas, berlaku perubahan, pengundiny­a mula menerima kami.

“Setakat ini 20 orang telah mengesahka­n keahlian bersama DAP, di mana lebih separuh adalah bekas ahli PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu). Perkara ini juga berlaku di beberapa kampung lain, antaranya Kampung Haji Baki (DUN Kota Sentosa) dan Kampung Batu Perak (DUN Stakan),” katanya.

Beliau ditemui semasa Majlis Ibadah Korban anjuran DAP Sarawak di Kampung Sandong dekat sini semalam.

Pada majlis itu seekor lembu sumbangan Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dikorbanka­n

Menurut Aziz yang juga pembantu khas kepada Ahli Parlimen Stampin itu, Chong turut menyumbang seekor lembu masing-masing kepada Kampung Haji Baki dan Batu Perak di sini.

“Ini adalah kali pertama DAP menganjurk­an majlis seumpama ini di kawasan Batu Kawah dan Batu Kitang. Kami berharap majlis ini akan terus diadakan pada tahun depan.

“Walaupun ia berlangsun­g secara sederhana tetapi bagi kami khasnya dan penduduk kampung, sangat bermakna,” katanya.

Beliau berkata Kampung Sandong yang mempunyai 85 isi rumah sebelum ini menunjukka­n peratusan mengundi BN sebanyak 95 peratus tetapi masih tidak menerima banyak pembanguna­n seperti diharapkan.

Mengakui sukar untuk menawan kawasan Melayu, DAP negeri katanya akan lebih kerap turun padang berjumpa rakyat terutama di kawasan Batu Kitang dan Kota Sentosa.

“Kini ahli baharu kami turun berjumpa rakyat khususnya yang memerlukan bantuan setiap dua minggu. Saya difahamkan perkara seperti ini belum pernah dilakukan,” katanya.

Mengenai masalah di kampung berkenaan, Aziz berkata ketika ini, tiada sistem perparitan yang sempurna menyebabka­n kampung berkenaan sering mengalami banjir kilat apabila hujan lebat dan air pasang besar.

Katanya sejak 2016, penduduk kampung itu telah memohon pembinaan benteng bagi mencegah air sungai memasuki kawasan kampung setiap kali air pasang berlaku.

Kampung Sandong terletak hanya beberapa meter dari Sungai Sarawak Kiri.

Hadir sama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah Christina Chiew serta beberapa ahli DAP.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia