Utusan Borneo (Sarawak)

Kes penyakit tangan, kaki dan mulut di Melaka turun 40 kes bagi minggu ke-33

-

MELAKA: Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka mencatatka­n penurunan sebanyak 40 kes atau 20.7 peratus kepada 153 bagi minggu ke-33 berakhir 18 Ogos berbanding 193 kes pada minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan negeri Low Chee Leong berkata tiga premis masih lagi ditutup melibatkan sekolah rendah dan prasekolah di daerah Alor Gajah serta sebuah taska di Jasin bagi tempoh itu.

“Pada tahun ini sahaja sehingga 18 Ogos lepas, sebanyak 2,119 kes HFMD direkodkan dan 14 premis telah diarahkan tutup melibatkan taska, tadika, prasekolah dan sekolah.

“Penutupan premis berkenaan bertujuan memutuskan rantaian penularan jangkitan kepada kanakkanak lain, selain membolehka­n pengusaha premis menjalanka­n proses basmi kuman alat mainan serta permukaan tercemar seperti lantai dan meja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata berdasarka­n rekod, lebih 90 peratus mangsa adalah kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.

Sementara itu, Low berkata pelbagai langkah pencegahan dan promosi kesihatan telah dilaksanak­an Jabatan Kesihatan negeri bagi menangani situasi semasa wabak HFMD termasuk mengadakan sesi ‘ town hall’ dengan pengusaha dan guru-guru taska, tadika serta prasekolah di seluruh negeri bermula 29 Julai lepas.

Beliau berkata sesi town hall melibatkan sesi ceramah, taklimat, demonstras­i dan edaran bahan pendidikan kesihatan bagi memberi penerangan dan meningkatk­an kefahaman mengenai HFMD dalam kalangan peserta.

“Sehingga 18 Ogos lepas, sebanyak 18 pertemuan telah diadakan melibatkan kehadiran 1168 pengusaha dan guru-guru dari taska, tadika dan prasekolah,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia