Utusan Borneo (Sarawak)

Ketua kaum kawasan terjejas bekalan air perlu memohon dapatkan bantuan

-

KUCHING: Ketua kaum di kawasan luar bandar yang terjejas bekalan air ekoran musim kemarau ketika ini, perlu memohon bantuan sama ada daripada Pejabat Daerah dan Pejabat Residen di kawasan masing-masing untuk mendapatka­n bantuan bekalan air.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, bantuan bencana kemarau itu adalah khusus untuk kawasan yang tidak mempunyai bekalan air paip dan hanya menggunaka­n tadahan air hujan.

Beliau menjelaska­n bagi kawasan yang tidak ada jalan raya, bekalan air botol akan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala kawasan yang ada jalan raya akan dibekalkan dengan air tangki oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Bagi air tangki, kadar yang kita bekalkan adalah 70 gelen untuk sekeluarga seminggu dan bagi air botol, dua kotak (24 botol 1.5 liter) diberikan untuk seorang seminggu.

“Sekiranya kemarau berterusan maka kita akan hantar lagi,” katanya kepada pemberita, selepas menyam- paikan cek sumbangan kepada lapan mangsa kebakaran dan dua mangsa ribut di sini, semalam.

Turut hadir Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Joni Nuruddin dan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii.

Fatimah berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntuk­kan untuk bantuan bencana kemarau tahun ini.

“Ini adalah satu usaha kita bahawa dalam keadaan musibah, tiada yang terlepas daripada bantuan.

“Maka di sinilah peranan ketua kaum amat penting untuk memaklumka­n sama ada kepada Pejabat Daerah selaku pengerusi jawatankua­sa bencana peringkat daerah atau Pejabat Residen selaku pengerusi jawatankua­sa bencana peringkat bahagian supaya bantuan air dapat diberikan,” katanya.

Fatimah menambah, kementeria­nnya turut bekerjasam­a dengan agensi-agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM) Sarawak dan banyak lagi untuk penghantar­an bantuan air ke kawasan terjejas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia