Utusan Borneo (Sarawak)

EKSPEDISI DEDAH KEPELBAGAI­AN BIO DI SUNGAI RAWOG•

- Sumbangan Jabatan Perhutanan Sabah & KTS Plantation Sdn Bhd

BANYAK yang tidak diketahui tentang Kawasan Pemulihara­an Sungai Rawog di bahagian tengah Sabah. Ia merupakan salah satu koridor hidupan liar terbesar dalam rizab hutan pengeluara­n aktif di negeri Sabah.

Dengan kawasan yang merangkumi 3,118 hektar dan sepanjang 23.4 kilometer, ia bertindak sebagai sebuah koridor hidupan liar aktif yang menghubung­kan Rizab Hutan Deramakot dengan ladang kelapa sawit bersebelah­an terutamany­a bagi spesies induk penting di Sabah.

Terletak dalam Rizab Hutan Segaliud Lokan (SLFR), ia merupakan sebahagian daripada kawasan pemulihara­an keseluruha­n seluas 6,447 hektar atau 11 peratus daripada kawasan hutan keseluruha­n seluas 57,247 hektar.

Rizab itu juga dikenali sebagai Unit Pengurusan Hutan No. 19(B), dan diurus oleh KTS Plantation Sdn Bhd sejak 1993 di bawah Perjanjian Lesen dengan tempoh selama 96 tahun.

Untuk rekod, KTS Plantation Sdn Bhd merupakan syarikat swasta pertama di Malaysia dari industri hutan yang disahkan dengan MS ISO 14001 bagi pensijilan Sistem Pengurusan Alam Sekitar dan MC&I (Hutan Asli) bagi pensijilan Pengurusan Hutan yang masing-masing diperolehi pada 2005 dan 2009.

Walaupun ia bertindak sebagai fungsi penting bagi inisiatif pemulihara­an dalam SLFR, tidak banyak yang diketahui tentang kepelbagai­an bio di Sungai Rawop sejak 1993.

Maka, KTS Plantation mengambil inisiatif untuk sama-sama menganjurk­an satu ekspedisi saintifik bersama Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) bagi menerokai flora dan fauna Sungai Rawog dari 8 hingga 18 Ogos 2018.

Kira-kira 160 peserta (dalam dua kumpulan) terlibat, dengan penyertaan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), Sabah Parks (SP) dan WWF-Malaysia.

Pada malam pertama di kem, Pengurus Kawasan Sabah (Perhutanan) KTS Plantation Collin Goh, mengalu-alukan peserta yang menyertai ekspedisi saintifik itu.

Sekurang-kurangnya 31 kumpulan penyelidik daripada pelbagai disiplin mengendali­kan tinjauan mereka dalam ekspedisi selama 11 hari itu.

Dr Reuben Nilus, Mohd Aminur Faiz dan pasukan ekologi mereka dari SFD mengkaji struktur hutan dan komposisi kawasan pemulihara­an.

Tumbuh-tumbuhan klimaks merangkumi dua ekosistem hutan, iaitu hutan dipterokar­pa campuran tanah rendah, dan hutan dipterokar­pa campuran bersama kerangas tanah rendah.

Hutan dipterokar­pa campuran bersama kerangas tanah rendah adalah kaya dengan pokok kapur (Dryobalano­ps spp.)

Kawasan ini mengandung­i ekosistem hutan yang signifikan dan oleh itu, usaha pemantauan jangka panjang ke atas dinamik hutannya amat disyorkan.

Sebanyak 11 petak sampel kekal diwujudkan untuk memantau status kawasan tersebut. Esther Dyi menjalanka­n penilaian tanah sewaktu ekspedisi itu.

Hasil awal menunjukka­n dua jenis julat warna tanah daripada coklat yang sangat gelap hingga kepada putih (menandakan hutan sihat) dan coklat kemerahan hingga kepada merah kekuningan (hutan dipterokar­pa campuran tanah rendah). Julat tekstur tanah adalah daripada pasir hingga kepada tanah liat gembur yang berpasir.

Tinjauan kepelbagai­an tumbuhan dan koleksi botani dijalankan oleh John Sugau dan pasukannya dari Sandakan Herbarium.

Suzana Sabran meng- kaji tumbuhan hiasan manakala Andi Maryani ke atas paku-pakis, Richard Majapun ke atas dipterokar­pa, Alviana Damit ke atas periuk kera dan Doris Seligin ke atas tumbuhan ubatan.

Kira-kira 40 spesies dipterokar­pa direkodkan, dengan dua yang hanya dapat dijumpai di Sabah iaitu Shorea symingtoni­i dan S. waltonii.

Dua spesies periuk kera kelihatan, iaitu Nepenthes ampullaria dan N. mirabilis, dengan satu hibrid, N. x kuchingens­is (antara N. ampullaria dan N. mirabilis).

Penyelidik dari Institut Biologi Tropika dan Pemulihara­an (ITBC) UMS diketuai Profesor Madya Monica Suleiman yang mengkaji lumut dalam kawasan pemulihara­an itu.

Dr Kartini Saibeh dari Fakulti Pertanian Lestari (FSA) UMS menjalanka­n penyelidik­an ke atas Araceae yang merupakan keluarga ubi keladi. Satu spesies Araceae yang tidak diterangka­n dari genus Homalomena telah direkodkan.

Penyelidik tumbuhan dari SP diketuai Rimi Repin, dan mereka mengkaji Begonia dan tumbuhan hiper-akumulator nikel.

Rimi merekodkan tiga spesies Begonia, dan dua daripadany­a tidak dapat ditentukan.

Dr Miyabi Nakabayash­i dari Universiti Ryukyus, Jepun, dalam kolaborati­f dengan SFD, menyelidik­i pokok ara, yang merupakan sumber makanan bagi haiwan yang memakan buah-buahan.

Dari Fakulti Sains dan Sumber Asli (FSSA) UMS Dr Mohd Sani Sarjadi dan pasukannya mengkaji mineralogi. Profesor Madya Mahmud Sudin (FSSA) mengkaji kepelbagai­an cendawan dalam kawasan itu.

Peserta lain yang meninjau kulat adalah Viviannye Paul (SFD) dan pelajar Dr Jaya Seelan (ITBC, UMS). Dr Walter Lintangah (FSSA) menerokai kepelbagai­an halia.

Jabatan Hidupan Liar Sabah diwakili Hussien Muin, dan pasukannya meninjau mamalia, reptilia dan burung.

Kawasan Pemulihara­an Sungai Rawog diketahui mempunyai banyak orang utan dan gajah pigmi Borneo, dan sungai itu sendiri dihuni buaya.

Dr Henry Bernard, Dr Jephte Sompud dan pasukan mereka dari UMS serta Elyrice Alim dari WWF-Malaysia dan Mohd Aminur Faiz (SFD) turut mengkaji hidupan liar.

Antara mamalia lain yang kelihatan ialah ungka, monyet ‘grey-leaf’, babi hutan, rusa Sambar, beruang tembadau, harimau akar (clouded leopard) dan tenggiling Sunda.

Alim Biun (SP) dan Hubert Petol (SFD) meninjau avifauna. Kesemua lapan spesies burung kenyalang yang dijumpai di Borneo kelihatan dalam ekspedisi ini. Kehadiran burung kuang bayas Argus yang hebat turut direkodkan.

Paul Imbun (SP) dan Pg. Sahlan (SFD) menjalanka­n tinjauan ke atas katak dan kodok. Sekurang-kurangnya 18 spesies direkodkan, dengan tujuh daripadany­a hanya dijumpai di Borneo.

Profesor Madya Abdul Hamid (ITBC, UMS) dan Nur Syafiqah S. Kamal (SFD) menjalanka­n kajian ke atas ikan Sungai Rawog manakala Hairul Hafiz (ITBC, UMS) mengambil sampel parasit ikan dan kelawar.

Pelajar Azniza Mahyudin (ITBC, UMS) menjalanka­n tinjauan ke atas kelawar dan ektoparasi­t mereka. Dr Liew Thor Seng (ITBC, UMS) meninjau siput darat.

Dr Arthur Chung, Razy Japir dan pasukan Entomologi SFD meninjau fauna serangga termasuk kupu-kupu, rama-rama, kumbang dan pepatung.

Kepelbagai­an serangga waktu malam seperti yang dinilai menerusi perangkap cahaya adalah sangat tinggi, dengan lebih 100 spesies yang dikira dalam satu meter persegi kain perangkap cahaya.

Bagi pepatung dan belalang jarum (damselflie­s), lebih 30 spesies direkodkan dalam masa tiga hari sampel dikumpul.

Sekurang-kurangnya sembilan spesies serangga yang hanya dapat dijumpai di Borneo direkodkan dan kupu-kupu kebangsaan Malaysia yang ikonik, Rajah Brooke’s Birdwing, kelihatan di kawasan Sungai Rawog.

Dr Homathevi Rahman dan Dr Bakhtiar E. Yahya, kedua-duanya dari ITBC, UMS, masing-masing meneliti anai-anai dan semut.

Selain pemulihara­an, pelanconga­n alam semula jadi merupakan satu lagi aspek yang diberi penekanan dalam ekspedisi ini. Jarry Lajanga (SFD), Dr Andy Russel Mojiol dan Dr Rosmalina (kedua-duanya dari UMS) meninjau produk dan tapak berpotensi untuk pelanconga­n alam semula jadi.

Taman semula jadi periuk kera berbentuk tabung air yang dijumpai di dalam salah satu tapak hutan yang sihat ternyata menakjubka­n. Kewujudan jenut garam (salt licks) dalam kawasan itu boleh digunakan untuk menggalakk­an kegiatan memerhati hidupan liar.

Secara kolektif, penyelidik telah menerokai ‘perkara tidak diketahui’ dalam Kawasan Pemulihara­an Sungai Rawog. Perkara tidak diketahui yang diketengah­kan di sini hanyalah segelintir daripada khazanah kepelbagai­an bio.

Penyelidik­an masih dijalankan dalam usaha mengenal pasti spesimen dan mengkaji data. Semua penemuan saintifik akan dibentangk­an dalam satu seminar yang akan diadakan tiga bulan selepas ekspedisi ini. Maka itu, ikutilah perkembang­an yang lebih mengujakan!.

 ??  ??
 ?? — Gambar SFD ?? MENARIK: Gnetum klosii (Gnetaceae) merupakan salah satu tumbuhan menarik yang kelihatan kerana buah ala anggur yang banyak di atas tangkai dan cabang.
— Gambar SFD MENARIK: Gnetum klosii (Gnetaceae) merupakan salah satu tumbuhan menarik yang kelihatan kerana buah ala anggur yang banyak di atas tangkai dan cabang.
 ?? — Gambar SFD ?? PERMAI: Satu lagi pemandanga­n yang indah di Sungai Rawog.
— Gambar SFD PERMAI: Satu lagi pemandanga­n yang indah di Sungai Rawog.
 ??  ??
 ?? — Gambar SFD ?? BERSEMANGA­T TINGGI: Kumpulan peserta kedua dari 13 hingga 18 Ogos 2018.
— Gambar SFD BERSEMANGA­T TINGGI: Kumpulan peserta kedua dari 13 hingga 18 Ogos 2018.
 ?? — Gambar SFD ?? PENYELIDIK: Kumpulan peserta pertama dari 8 hingga 12 Ogos 2018.
— Gambar SFD PENYELIDIK: Kumpulan peserta pertama dari 8 hingga 12 Ogos 2018.
 ?? — Gambar SFD ?? BERCAHAYA: Cendawan bio-cahaya (biolumines­cent) yang amat menarik, Filoboletu­s manipulari­s (kiri) dan kulat karang, Ramaria sp.
— Gambar SFD BERCAHAYA: Cendawan bio-cahaya (biolumines­cent) yang amat menarik, Filoboletu­s manipulari­s (kiri) dan kulat karang, Ramaria sp.
 ?? — Gambar SFD ?? MAKAN: Kupu-kupu jantan Rajah Brooke’s Birdwing, Trogonopte­ra brookiana, makan mineral di Sungai Rawog bersebelah­an dengan kem.
— Gambar SFD MAKAN: Kupu-kupu jantan Rajah Brooke’s Birdwing, Trogonopte­ra brookiana, makan mineral di Sungai Rawog bersebelah­an dengan kem.
 ?? — Gambar SFD ?? BERKARISMA: Katak terbang Wallace yang berkarisma, Rhacophoru­s nigropalma­tus.
— Gambar SFD BERKARISMA: Katak terbang Wallace yang berkarisma, Rhacophoru­s nigropalma­tus.
 ??  ?? NEPENTHES AMPULLARIA
NEPENTHES AMPULLARIA
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia