Utusan Borneo (Sarawak)

Karnival Curtin beri ruang masyarakat ketahui tawaran pendidikan

-

MIRI: Karnival Curtin Malaysia 2018 memberi ruang kepada masyarakat setempat khususnya golongan belia mengetahui tawaran pendidikan yang diberikan Curtin Malaysia di sini.

Pro Canselor Curtin Malaysia Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata usaha itu merupakan peluang baik kepada Curtin Malaysia menyerlahk­an pencapaian institusi pengajian tinggi tersebut selama ini.

“Sejak 19 tahun lalu, Curtin Malaysia bukan sahaja mengalu-alukan ribuan pelajar baharu menyertai pelbagai program ditawarkan malah melahirkan hampir 6,000 graduan cemerlang dengan pencapaian membanggak­an,” katanya pada pelancaran ‘Curtin Malaysia Carnival 2018’ edisi ke-12 sempena sambutan Ulang Tahun Ke-20 Curtin Malaysia 2019 di sini semalam.

Hadir sama Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia Profesor Jim Mienczakow­ski, Pengerusi Lembaga Pengurusan Curtin Malaysia merangkap Menteri Muda Pelanconga­n, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Pengerusi Jawatankua­sa Karnival Curtin Malaysia Nicholas Leong serta tetamu lain.

Dr Chan melahirkan rasa gembira kerana Curtin Malaysia meneruskan fokus mempromosi­kan bidang Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) untuk tarikan pelajar menerima tawaran pengajian disediakan.

“Melalui acara ini secara langsung menjadikan ia acara tahunan paling besar dengan tarikan baharu untuk bakal pelajar dan keluarga mereka.

“Sebagai sebuah universiti yang terus berkembang, kita yakin dengan pencapaian Curtin Malaysia melalui acara terbabit serta visi lebih mantap, Curtin Malaysia akan terus membangun mengikut peredaran masa kini dan seterusnya,” ujarnya.

Dalam perkembang­an lain, Dr Chan turut mengumumka­n peruntukan RM100,000 bagi projek sistem pencahayaa­n solar yang dipasang di kawasan padang Curtin Malaysia.

“Pada mesyuarat majlis, saya difahamkan pelajar meminta agar lampu dipasang di kawasan terbabit dan kos pemasangan lampu tersebut amat tinggi.

“Oleh itu, diharapkan melalui peruntukan ini warga Curtin Malaysia dapat melaksanak­an projek itu bagi mengurangk­an penggunaan elektrik pada masa depan,” tambahnya.

Sementara itu, karnival bertemakan ‘Discover, Experience, Interact’ diadakan di pekarangan kampus yang dahulunya dikenali ‘Curtin Malaysia Open Day’ berlangsun­g sehari bermula jam 10 pagi hingga 5 petang semalam.

Antara tarikan karnival itu ialah Future Students Hub, Pameran Fakulti, Pameran STEM, Curtin Croc Challenge, pelbagai pertanding­an antara sekolah, hiburan, selain jualan gerai makanan, minuman serta aktiviti lain.

Dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung, Curtin Malaysia mengadakan Mini Kite Festival dengan kerjasama Lembaga Pembanguna­n Bintulu (BDA) sebagai ‘prelude’ kepada acara terbesar festival itu diadakan di Bintulu bulan depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia