Utusan Borneo (Sarawak)

28,669 PATI ditahan setakat 20 Ogos lepas

-

NILAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 28,669 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegar­a sejak 1 Jan hingga 20 Ogos lepas.

Ketua Pengarahny­a Datuk Seri Mustafar Ali berkata sebanyak 866 majikan turut diberi amaran sepanjang tempoh tersebut kerana menggaji atau melindungi PATI.

“Penahanan itu adalah hasil daripada 9,349 operasi yang dijalankan di seluruh negara dan sebanyak 114,559 warga asing yang bekerja di pelbagai sektor telah diperiksa.

“Kita ( Imigresen) beri peluang kepada mereka yang berstatus PATI supaya menyerah diri secara sukarela melalui program 3+1 yang akan tamat 30 Ogos ini, selepas itu tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Korban Peringkat Kebangsaan bersama Majlis Kebajikan dan Sukan Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Mohammed Khalil Ali.

Dalam perkembang­an lain, Mustafar berkata Op Mega 3.0 pada 1 Julai hingga 20 Ogos lepas, seramai 28,356 warga asing telah diperiksa melalui 2,463 operasi di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, seramai 7,958 PATI ditahan dan 238 majikan turut ditahan kerana berdegil melindungi dan menggajika­n PATI.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya mengesan ada majikan yang dipercayai mengaut keuntungan antara RM1,500 hingga RM5,000 dengan menjual pekerja asing kepada syarikat lain.

Katanya JIM mendapati terdapat majikan yang memohon pekerja asing dengan jumlah yang banyak sedangkan ia sudah melebihi kuota.

“Kita mengesyaki mereka menjual pekerja di tempat lain dengan mengenakan bayaran lebih tinggi. Jika ini berlaku kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia