Utusan Borneo (Sarawak)

Malaysia gagal pertahan perak acara recurve berpasukan lelaki

-

JAKARTA: Skuad memanah negara gagal mempertaha­nkan pingat perak yang dimenangi pada 2014 setelah kalah 0-6 kepada Iran seawal pusingan pertama acara recurve berpasukan lelaki pada Sukan Asia JakartaPal­embang 2018 di Padang Memanah Gelora Bung Karno, di sini semalam.

Gandingan negara terdiri daripada Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin tewas 48-57, 50-52 dan 55-56 kepada trio Iran iaitu Sadegh Ashrafi Bavili, Milad Vaziri Teymoorloo­ei dan Amin Pirali Najafabadi.

Khairul Anuar sebelum ini muncul pemanah terbaik negara setelah mara sehingga ke suku akhir acara recurve individu, namun kalah 3-7 kepada wakil Kazakhstan, Abdullin Ilfat pada Khamis lepas.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat perak recurve berpasukan lelaki menerusi gandingan Khairul Anuar, Haziq dan Atiq Bazil Bakri pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Terdahulu, skuad recurve wanita negara turut tersingkir seawal pusingan pertama acara berpasukan setelah kalah 2-6 kepada Kazakhstan.

Gandingan negara iaitu Nur Aliya Ghapar, Loke Shin Hui dan Nuramalia Haneesha Mazlan menang set pertama, 54-48 sebelum kalah tiga set berikutnya;48-55, 51-53 dan 44-50 kepada Alina Ilyassova, Luiza Saidiyeva dan Farida Tukebayeva.

Malaysia akan meneruskan cabaran dalam acara compound berpasukan lelaki dan wanita, hari ini.

Trio lelaki negara iaitu Mohd Juwaidi Mazuki, Lee Kin Lip dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli akan berdepan Laos manakala trio wanita diketuai pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Sazatul Nadhirah Zakaria akan menentang Myanmar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia