Utusan Borneo (Sarawak)

Syaidatul, Natasha sasar pingat bagi acara master

-

PALEMBANG: Pemain boling negara Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan tidak sabar lagi untuk merebut pingat di dalam acara Masters Wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang di sini.

Syaidatul Afifah mendapat markah tertinggi dalam kedudukan All-Events dengan 2,918 jatuhan pin dalam acara trio wanita untuk merangkul emas bersama Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, sebelum bergabung dengan rakan sepasukan yang lain dan memperoleh perak dalam acara berpasukan wanita dengan enam anggota di Pusat Boling Jakabaring, di sini.

Pemain boling berusia 26 tahun itu berharap mengekalka­n momentum persembaha­nnya dan berusaha mendapatka­n pingat ketiga dalam edisi kali ini, jumlah maksimum pingat yang boleh diraih seseorang pemain setelah penganjur mengurangk­an jumlah pingat yang ditawarkan untuk acara perseorang­an, beregu dan All-Events, kali ini.

“Setakat ini saya beraksi dengan baik pada lorong boling dengan corak minyak yang panjang dan sederhana dan saya berpuas hati dengannya. Saya hanya perlu kekalkan momentum saya… mengharapk­an sebutir lagi pingat, “katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Natasha yang layak ke dalam acara itu selaku pemain kedua terbaik Malaysia selepas berada di kedudukan keempat dalam acara All-Events dengan 2,828 jatuhan pin, juga menyasarka­n sebutir lagi pingat walaupun bakal berhadapan saingan sengit kerana hanya yang terbaik mara dalam acara berkenaan.

“Sebenarnya, saya tidak menjangka untuk melangkah ke Masters, tetapi saya sudah layak maka saya akan memberikan yang terbaik untuk mendapatka­n satu lagi pingat buat negara. Ia adalah sukar kerana setiap pemain bermain dengan sangat baik dengan ketekalan yang tinggi,” katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas dalam acara Masters semasa Shalin Zulkifli dan Lai Kin Ngoh mendapat tempat pertama dan kedua dalam edisi 2002 di Busan, Korea Selatan, sementara pingat terakhir diperoleh Esther Tan, sebutir pingat perak dalam Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia