Utusan Borneo (Sarawak)

Bursa Malaysia lancar kontrak niaga hadapan mini pertama pada 27 Ogos

-

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Bursa Malaysia Bhd, Bursa Malaysia Derivative­s Bhd, dijadual melancarka­n kontrak niaga hadapan mini pertama, Kontrak Hadapan Indeks Mini FTSE Bursa Malaysia Mid 70 (FM70) pada 27 Ogos 2018.

FM70 adalah kontrak niaga hadapan berdenomin­asi ringgit yang menjejaki Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 (FBM Mid 70) sebagai instrumen pendasarny­a, memberikan pendedahan kepada semua 70 syarikat FBM Mid 70 melalui kontrak niaga hadapan tunggal.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata. FM70 direka untuk membuat dagangan dalam pasaran derivatif boleh diakses oleh asas pelabur runcit yang lebih meluas dengan margin permulaan atau kos permulaan pelaburan yang agak rendah.

“Oleh kerana ia menjejaki FBM Mid 70, kontrak FM70 pada dasarnya membolehka­n pelabur untuk berdagang dan melabur dalam potensi gabungan kumpulan syarikat ini yang membentuk sebahagian daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di bursa,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Nilai kontrak bersamaan dengan mata indeks FBM Mid 70 yang didarab dengan RM2, yang pada masa ini membawa nilai kontrak kepada kira-kira RM30,000.

Menyasarka­n pelabur runcit, FM70 mempunyai margin awal yang rendah sebanyak RM800, berbanding dengan produk niaga hadapan indeks ekuiti lain seperti kontrak Hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI) pada margin awal sebanyak RM4,000.

“Kontrak niaga hadapan mini ini tidak memerlukan kerja untuk menyelidik sesuatu syarikat individu untuk melabur dan sesuai untuk pelabur sibuk mencari pilihan pelaburan alternatif di luar pasaran sekuriti. Ia selaras dengan hasrat kami untuk mengembang­kan rangkaian produk dalam ruang derivatif ekuiti,” kata Tajuddin.

Pelabur juga dapat menjual pendek FM70 dan memanfaatk­an peluang arbitraj yang timbul daripada perbezaan harga antara FM70 dan indeks pendasar.

Selain itu, FM70 boleh digabungka­n dengan FKLI untuk pendedahan bersama kepada 100 syarikat teratas di Malaysia, atau digunakan untuk hubungan atau penyebaran dagangan dengan FKLI untuk memanfaatk­an tempoh penyebaran dan penumpuan kedua-dua indeks pendasar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia