Utusan Borneo (Sarawak)

Hishammudd­in sedia disiasat berhubung khidmat pengiring

-

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudd­in Tun Hussein bersedia disiasat berhubung dakwaan tiga anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) masih berkhidmat dengannya walaupun tidak lagi menjadi menteri.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau tidak akan menegakkan benang yang basah jika benar wujud kesalahan malah mengalualu­kan sebarang siasatan dalaman yang ingin dilakukan ATM.

“Mereka ini macam keluarga saya tapi saya konsisten, kalau salah tetap salah. Saya mengalu-alukan ‘board of inquiry’,” katanya ringkas kepada Bernama melalui sistem pesanan WhatsApp semalam.

Kelmarin, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengarahka­n kementeria­nnya melakukan siasatan segera berhubung dakwaan tersebut dan tindakan akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggara­n peraturan sedia ada.

Mohamad mengulas laporan sebuah portal berita mengenai dua anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan seorang komando masih menjadi pengiring Hishammudd­in, yang tidak lagi memegang portfolio itu berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lepas.

Menurut laporan portal berita itu, dua pegawai PASKAL itu masih dalam perkhidmat­an, yang masingmasi­ng akan tamat pada 2020 dan 2021, manakala komando itu didakwa antara individu yang kelihatan dalam gambar yang dimuat naik Hishammudd­in di laman Twitter beliau baru-baru ini.

Ketiga-tiga anggota itu juga didakwa masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammudd­in sendiri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia