Utusan Borneo (Sarawak)

JPNT nafi wujud kegiatan pajak lesen bot kepada nelayan asing

-

MARANG: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) menafikan dakwaan wujud kegiatan memajak lesen bot oleh nelayan tempatan kepada nelayan asing di negeri ini.

Menyifatka­n ia dakwaan semata-mata, Pengarah JPNT Zawawi Ali berkata sekiranya kegiatan itu berlaku, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kerana aktiviti haram itu mengancam dan merugikan industri perikanan negeri.

“Jika benar berlaku, kami sendiri tidak akan lindungi dan akan ambil tindakan terhadap pesalah termasuk kakitangan JPNT jika didapati bersubahat sama,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Melabuh Unjam oleh Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang, di Jeti Pelanconga­n Marang semalam.

Sebelum ini, terdapat dakwaan kegiatan itu didalangi ejen tempatan yang berfungsi sebagai orang tengah antara nelayan tempatan dan asing, malah nelayan tempatan dikatakan diberi bayaran lumayan sehingga RM200,000 setahun sebagai ganjaran.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankua­sa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembanguna­n Desa, Dr Azman Ibrahim berkata program melabuhkan unjam itu adalah satu usaha jangka pendek untuk pembiakan ikan bagi membantu menambah hasil nelayan.

Sebanyak 51 unjam yang diperbuat daripada pelepah kelapa dan batang buluh dilabuhkan di kawasan lapan kilometer dari Jeti Marang dengan menggunaka­n 17 buah bot milik anggota Persatuan Nelayan Kawasan Marang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia