Utusan Borneo (Sarawak)

Dua beranak lemas di Sungai Langat

-

KAJANG: Aktiviti memancing dua beranak bertukar tragedi apabila kedua-duanya mati lemas di Sungai Langat berhampira­n Taman Bangi Perdana, Bangi di sini, semalam.

Mayat kedua beranak itu ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Selangor di dasar sungai sedalam tiga meter, kira-kira tujuh meter dari tebing sungai selepas mereka dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berkenaan pagi semalam.

Mayat Roslan Ismail, 49, ditemui pada jam 1.52 petang, manakala mayat anaknya, Ahmad Azri, 18, ditemukan pada jam 2.20 petang, kirakira empat meter daripada mayat Roslan.

Saksi kejadian, Rashidi Yahya, 30, berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 9.40 pagi ketika beliau tiba di sungai untuk memancing.

“Saya sampai sahaja, terus ternampak kepala mangsa dan tangan mereka terkapai-kapai, sejurus itu mereka terus tenggelam. Ketika kejadian, saya berada kira-kira 30 meter dari mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, semalam.

Sementara itu, isteri mangsa, Ajura Abdul Jalil, 48, berkata suaminya yang bekerja sebagai kontraktor binaan kerap memancing di sungai itu yang terletak berhampira­n rumah mereka.

“Memang setiap hujung minggu, dia (Roslan) akan berseorang­an ke sini, tapi hari ini (semalam) anak kedua kami turut mahu ikut dia memancing,” katanya dalam nada sebak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi Timbalan Penguasa Bomba, Rosman Majid berkata operasi pencarian mangsa dibantu oleh tujuh anggota PPDA bersama lima anggota dan dua anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia