Utusan Borneo (Sarawak)

Pangkalan data kontraktor dikemas kini elak wujud monopoli projek

-

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan mengemas kini sistem pangkalan data sebagai usaha memastikan kesemua maklumat berkaitan kontraktor dapat direkodkan dengan teratur terutama projek yang dikendalik­an sesebuah syarikat kontraktor itu.

Pengerusi Kerja Raya, Infrastruk­tur dan Pengangkut­an negeri, Mazlan Bujang berkata, sistem yang dibangunka­n oleh Pusat Pembanguna­n Kontraktor Johor (JCCD) itu juga dilakukan bagi mengelakka­n wujudnya monopoli kontraktor terhadap sesuatu projek pembanguna­n kerajaan negeri.

Menurut Mazlan, pihaknya kini sedang meneliti beberapa kertas kerja berkaitan kemas kini sistem pangkalan data berkenaan yang dijangka mengambil masa yang lama untuk dikaji.

“Ada tiga kertas kerja yang akan dinilai, kita perlu pilih sistem terbaik untuk diimplimen­tasi dasarnya, selain memerlukan masa yang agak panjang bagi menilai sistem terbaik.

“Pangkalan data ini juga akan menunjukka­n berapa banyak projek yang dikendalik­an dan nilai kerja mereka ( kontraktor), ini memudahkan kita untuk kawal peluang projek kepada mereka untuk pastikan tiada monopoli,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Industri Binaan Bumiputera Negeri Johor, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Johor Nor Hashimi Mahat dan Pengarah Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan (CIDB) Johor Othman Safar.

Mazlan menegaskan dengan mengemas kini pangkalan data, sesuatu projek yang diperoleh sesebuah syarikat kontraktor itu dapat dihadkan agar wujud kesamarata­an.

“Dengan sistem ini, kita dapat mengehadka­n seorang kontraktor memperoleh maksimum tiga hingga empat projek setahun, berbanding sebelum ini ada yang memperoleh tujuh hingga lapan projek setahun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memperketa­tkan pembaharua­n kontraktor sekiranya pihak terbabit dikesan menyewakan lesen itu kepada pihak ketiga. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia