Utusan Borneo (Sarawak)

Renjer PERHILITAN Pahang yang hilang kini sihat

-

LIPIS: Renjer Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan Ahmad Tarmizi Ahmad Japli yang hilang selama dua minggu di Hutan Simpan Yong Taman Negara, dekat sini disahkan berada dalam keadaan sihat.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, setakat ini Ahmad Tarmizi, 30, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis hanya keletihan dan lemah berkemungk­inan kerana terlalu lama berada di dalam hutan.

Katanya, pihak hospital juga telah mengambil sampel darah mangsa untuk diuji bagi memastikan kesihatann­ya benar-benar berada dalam keadaan baik sebelum dibenarkan pulang.

“Kami menjangkak­an beliau dibenarkan keluar pada Rabu kerana kita masih mahu mengawasi keadaannya.

“Pemeriksaa­n awal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan atau kesan gigitan haiwan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dr Sha’ari menambah, selain Ahmad Tarmizi, pihaknya juga memeriksa 50 pegawai dan kakitangan agensi kerajaan serta sukarelawa­n yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Tarmizi dan semuanya disahkan tidak mengalami mengalami masalah kesihatan.

Ahmad Tarmizi dilaporkan hilang pada 11 Ogos lalu ketika menyertai program Kaji Selidik Harimau Kebangsaan Pertama selepas masuk ke hutan itu melalui Felda Kechau 11 di sini, bersama- sama tujuh rakan sekerjanya pada 9 Ogos lalu.

Kehilangan­nya disedari rakannya selepas menyedari mangsa tidak berada di be- lakangnya semasa mereka dalam perjalanan pulang ke kem.

Selepas 14 hari hilang, Ahmad Tarmizi yang merupakan bapa kepada empat orang anak ditemui pada jam 4 petang Sabtu lalu, dalam lingkungan empat kilometer dari lokasi terakhir beliau dilihat, walaupun kawasan pencarian operasi SAR telah meliputi kawasan seluas 40 kilometer persegi hutan berkenaan.

Pencarian disertai lebih 336 anggota SAR daripada Polis Diraja Malaysia yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara, Unit K9, serta JBPM, Jabatan Hutan, badan bukan kerajaan dan orang awam termasuk Orang Asli.

Sementara itu, usaha untuk menemui Ahmad Tarmizi di wad hospital berkenaan tidak berjaya kerana beliau dengan sopan menolak untuk ditemu bual. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia