Utusan Borneo (Sarawak)

Tidak selamat: Perlumbaan Grand Prix British dibatalkan

-

LONDON, England: Perlumbaan Grand Prix British dibatalkan selepas hujan lebat menyebabka­n keadaan litar “tidak selamat” di Silverston­e Ahad lepas.

Dengan hujan turun sepanjang hujung minggu, perlumbaan MotoGP telah diawalkan dari jadual biasa 12 tengahari kepada 10.30 pagi dalam usaha untuk mengatasi cuaca.

Tetapi hujan terus turun pada pagi Ahad, memaksa pegawai perlumbaan menangguhk­an permulaan perlumbaan sebelum akhirnya membatalka­nnya terus atas sebab keselamata­n.

Selepas beberapa kali permulaan dibuat, satu pertemuan di antara pegawai perlumbaan dan pasukan diadakan dan satu keputusan segera dibuat yang mengesahka­n litar tidak sesuai untuk berlumba.

MotoGP berkata “tiada sebarang pilihan” untuk mengadakan perlumbaan keesokan harinya.

Pengarah perlumbaan MotoGP, Mike Webb, mengakui permukaan baharu di Silverston­e, yang dibuat pada bulan Februari, dipersalah­kan kerana menjadikan litar tidak selamat untuk berlumba.

“Kami mempunyai bertahun- tahun pengalaman dalam cuaca basah dengan permukaan lama dan dapat meneruskan perlumbaan,” kata Webb.

“Tahun ini, dengan permukaan baharu, ia kali pertama kami mengalami masalah air terlalu banyak berlopak di beberapa kawasan penting dalam litar jadi ia adalah punca dari perubahan permukaan litar.

“Pihak kami telah melakukan segala usaha sepanjang hujung minggu untuk cuba memastikan litar selamat dan sehingga ke minit akhir mereka masih berusaha tetapi malangnya kami tidak dapat melawan alam semula jadi.”

Pembatalan itu dibuat selepas pelumba, Tito Rabat mengalami kecederaan patah kaki semasa sesi latihan bebas keempat pada hari Sabtu.

Rabat, yang memandu jentera Ducati dalam hujan lebat, berjalan meninggalk­an zon batu kelikir selepas terbabas apabila dirempuh oleh Franco Morbidelli yang turut terbabas.

Kali terakhir perlumbaan kelas elit dibatalkan ialah pada Grand Prix Austria 1980 kerana salji walaupun perlumbaan Grand Prix Malaysia pad 2011, di mana Marco Simonecell­i maut dalam kemalangan, juga dianggap perlumbaan rasmi kerana ditamatkan lebih awal. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia