Utusan Borneo (Sarawak)

Pembinaan laluan alternatif akan melalui pekan Long Lama, Marudi dan tanah tinggi Bario tanpa perlu melalui Brunei

- Oleh Clare Cinderella

MIRI: Laluan ‘missing link’ atau laluan yang masih ‘terputus’ di utara negeri ini, iaitu jalan menghubung­kan Miri dengan Limbang dan Lawas akan diteruskan dengan Kementeria­n Kerja Raya berusaha memastikan ia menjadi kenyataan.

Pembinaan laluan alternatif itu kelak akan menghubung­kan ketiga-tiga bandar di utara negeri ini melalui pekan Long Lama, Marudi dan tanah tinggi Bario tanpa perlu melalui negara Brunei.

Menteri Kerja Raya Baru Bian semasa menghadiri Projek ‘Lawas My Home’ sempena Karnival Belia Lun Bawang di Dataran Bandar Lawas baru-baru ini memberitah­u, beliau amat sedar dengan masalah seperti penggunaan pasport, kesukaran membawa barangan makanan seperti beras dan lainnya oleh penduduk Limbang, Lawas dan Miri yang melalui Brunei.

Beliau berharap dengan adanya laluan alternatif ini kelak ia akan mengakhiri kesukaran tersebut.

“Kita sedar cabarannya namun, Kementeria­n Kerja Raya akan meneruskan usaha untuk membina laluan ‘missing link’ ini, yang bukan sahaja memudahkan rakyat tanpa perlu melalui negara Brunei dan berdepan dengan pelbagai peraturan ketat dan sebagainya.

“Perkara ini telahpun dipersetuj­ui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sesi taklimat bersama KKR Malaysia, baru- baru ini,” tambahnya.

Dalam perkembang­an lain, Baru turut melihat keperluan untuk kerajaan negeri membina satu lagi laluan iaitu ‘trunk road’ kedua di negeri ini, sebagai tidak munasabah.

Sebaliknya kerajaan negeri perlu melihat keperluan lain yang lebih memberi manfaat kepada rakyat seperti membina dan menambah baik jalan-jalan kampung ke rumah-rumah panjang serta penempatan penduduk di pedalaman negeri ini.

“Kita melihat bahawa negeri ini sudahpun mempunyai jaringan jalan Pan Borneo dan jalan pesisir yang menghubung­kan kawasan Selatan hingga ke Utara Sarawak.

“Justeru amat perlu bagi kerajaan negeri melihat aspek lain yang lebih penting untuk membangunk­an kawasan pedalaman Sarawak dengan peruntukan ini berbanding membina jalan raya kedua ini,” tambahnya.

Menyentuh isu belia di Lawas, Baru Bian melihat kepentinga­n bagi pihak berkuasa daripada berbagai agensi penguatkua­sa untuk bertindak lebih tegas membersihk­an daerah Lawas daripada pengaruh negatif khususnya penyalahgu­naan dadah dan ketagihan syabu.

“Kita akan berjumpa semula dengan masyarakat Lawas bagi melihat usaha pihak berkenaan dalam menangani masalah dadah di Lawas.

“Pada masa yang sama kita mahu semua masyarakat terlibat sama untuk memastikan Lawas bebas daripada ancaman dadah dan syabu yang dilihat amat membimbang­kan ketika ini,” ujar beliau lagi.

Baru Bian yang juga ADUN Ba’kelalan dan Ahli Parlimen Selangau memandang serius isu dadah dan perjudian siber di daerah Lawas dan negeri Sarawak amnnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegaskan golongan belia sebagai aset penting negara yang perlu dibimbing dan dilatih dengan berbagai kemahiran sesuai dengan potensi yang mereka miliki.

Oleh itu, program seperti karnival belia ini wajar diteruskan sebagai landasan untuk mencungkil bakat belia agar dapat dikembangk­an ke peringkat lebih tinggi.

Hadir sama ialah Pengerusi Belia Persatuan Lun Bawang Sarawak(PLBS), Petrus Lasong, Pengerusi Belia PLBS Cawangan Miri, Andrew Labo dan Pengerusi Belia PLBS Cawangan Lawas, Josely Pengiran.

Pada majlis itu, Baru turut mengumumka­n geran kerajaan RM20,000 untuk PLBS Cawangan Belia Lawas.

 ??  ?? RASMI: Baru Bian memukul gong sebagai simbolik perasmian projek ‘Lawas My Home’ anjuran unit belia PLBS.
RASMI: Baru Bian memukul gong sebagai simbolik perasmian projek ‘Lawas My Home’ anjuran unit belia PLBS.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia