Utusan Borneo (Sarawak)

Pecah amanah, pegawai kewangan dijatuhi hukuman penjara

-

PETALING JAYA: Seorang pegawai kewangan sebuah syarikat penyelia keselamata­n dihukum penjara dua tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana menyalahgu­nakan harta milik syarikat lebih RM9,000 bulan lalu.

Muhammad Fahmi Kamal Mawardi, 23, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah sebagai pekerja syarikat Safeguard G4S yang diamanahka­n dengan wang tunai RM9,546.15, telah menyalahgu­nakan harta milik syarikat tempatnya bekerja.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula semalam.

Kesalahan itu dilakukan di Safeguards Sdn Bhd G4S, Jalan 225, Seksyen 51A, di sini pada 20 Julai 2018 dan pendakwaan adalah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat dan denda.

Terdahulu, TimbalanPe­ndakwa Raya Asyraf Ashy’ari Kamaruzama­n memohon hukuman yang berat ke atas tertuduh mengambil kira kekerapan kes pecah amanah berlaku.

“Saya mohon hukuman yang dapat memberikan pengajaran mengambil kira kepentinga­n awam dan secara tidak langsung melindungi syarikat tersebut,” katanya.

Bagaimanap­un, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik dan dia juga perlu menanggung keluarga.

“Ini adalah kesalahan pertama saya dan saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan seperti ini lagi,” kata lelaki itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Muhammad Fahmi Kamal yang bertugas sebagai pemungut hasil kutipan jualan pusat kecantikan dan kesihatan Guardian telah melakukan kutipan wang dan memasukkan hasil jualan tersebut di dalam sebuah beg milik syarikat.

Tertuduh bagaimanap­un mengambil hasil kutipan jualan yang seharusnya dimasukkan ke dalam akaun pihak Guardian ke dalam beg miliknya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia