Utusan Borneo (Sarawak)

Kes tiga budak lemas di lombong bauksit, mahkamah beri ganti rugi RM37,620

-

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini semalam, memerintah­kan pemilik tanah lombong bauksit terbiar di Taman Sungai Karang di sini membayar ganti rugi sebanyak RM37,620 kepada keluarga tiga kanak-kanak yang lemas di tanah berkenaan, tahun lalu.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib juga memerintah­kan Ng Kok Yu, 42, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes itu membayar kos dan faedah lain yang akan ditentukan kemudian kepada ibu bapa mangsa.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan tujuh saksi plaintif dan Ng yang merupakan pengarah korporat sebuah syarikat elektronik menjadi satu-satunya saksi defendan, dalam perbicaraa­n kes saman yang berlangsun­g selama dua hari bermula 18 Julai lalu.

Dalam kes itu, plaintif iaitu Mohd Shariff Awang Ngah dan Norhabibah Aidir, keduaduany­a berusia 50 tahun, merupakan ibu bapa kepada Nureen Ain Juwita, 10; dan Nor Azila Mudzafar Shah, 32, ibu kepada dua beradik Salsabila Zulkhairi, 12, dan Mahathir Mohamad, 7; memfailkan saman ke atas Ng pada 29 Okt lalu.

Mereka memfailkan saman itu atas alasan kecuaian yang antara lain mendakwa Ng tidak memagar kawasan tersebut bagi mengelak orang ramai daripada memasukiny­a, tidak meletakkan sebarang tanda amaran atau menimbus lombong itu dengan tanah selepas selesai melombong.

Pada 4 Februari 2017, Salsabila, Mahathir dan Nureen lemas ketika dikatakan cuba mengambil sehelai seluar dari lombong terbiar itu yang bertukar menjadi kolam apabila dipenuhi air hujan sebelum kejadian tersebut.

Sementara itu, Nor Azilah berkata dia bersyukur dengan keputusan mahkamah yang menunjukka­n pemilik tanah tersebut cuai dalam mengambil langkah keselamata­n untuk mengelakka­n kejadian tidak diingini berlaku.

“Saman ini bukan kerana wang....sebaliknya ia sebagai peringatan kepada pemilik dan pengusaha bauksit di luar sana supaya tidak melakukan aktiviti ini secara lewa dan hanya mementingk­an keuntungan.

“Anak kami kini berada di tempat yang lebih baik tapi kami tidak mahu ada ibu bapa lain yang perlu merasai kesedihan yang pernah kami alami. Nyawa anak kami sudah pasti tiada galang gantinya,” katanya.

Norhabibah pula berkata pemilik tanah seharusnya lebih bertanggun­gjawab ke atas hartanah mereka, khususnya yang terletak berhampira­n taman perumahan kerana kanak-kanak boleh tertarik untuk bermain di kawasan berkenaan.

Sementara itu, peguam Mohd Harris Abdullah yang mewakili semua plaintif, berkata beliau akan merayu keputusan tersebut bagi meminta mahkamah turut memberikan ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan kepada keluarga mangsa.

Pada prosiding itu, Ng yang menetap di Pulau Pinang diwakili peguam Jeyasingam Balasingam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia