Utusan Borneo (Sarawak)

Tempuh perjalanan 700km untuk sertai lelongan awam JPJ

-

KUANTAN: Pemilik bengkel motosikal dari Kodiang, Kedah sanggup menempuh perjalanan sejauh 700 kilometer untuk menyertai lelongan awam di ibu pejabat Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) di sini, semalam.

Mohamad Firdaus Md Noor, 35, menyifatka­n perjalanan­nya sebagai ‘berbaloi’ apabila berjaya membida 19 motosikal pada harga RM10,310 sekali gus menjadi pembida terbanyak pada sesi lelongan tersebut.

Katanya, beliau mengetahui mengenai sesi lelongan itu menerusi laman sosial Facebook dan tiba di Kuantan petang kelmarin, untuk melihat dan memeriksa terlebih dahulu keadaan motosikal yang ditawarkan.

“Saya mahu menggunaka­n semula komponen motosikal yang dilelong di bengkel... amalan beli, baiki dan jual semula komponen motosikal ini sudah menjadi amalan perniagaan saya sejak dahulu lagi.

“Ini juga bukan kali pertama saya terlibat dalam sesi lelongan kerana sudah 10 tahun saya menghadiri sesi lelongan awam agensi kerajaan. Boleh dikatakan sudah mahir dalam prosedur lelongan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohamad Firdaus yang juga bapa kepada empat orang anak berkata, selain digunakan di bengkelnya, komponen motosikal itu juga ada yang dijual secara dalam talian ke seluruh negara, khususnya yang melibatkan alat ganti yang sukar ditemui.

Beliau menambah, semua motosikal tersebut akan dibawa pulang ke Kodiang selepas selesai semua urusan dokumen semalam, dengan menaiki lori.

“Saya juga membida sebuah motosikal jenama Yamaha Ego pada harga RM2,050 kerana nombor pendaftara­nnya yang begitu cantik... 666. Ini satu bonus kepada kunjungan saya ke sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pahang Muhammad Abdullah berkata, jumlah keseluruha­n lelongan kenderaan disita pihaknya bernilai RM22,690 melibatkan 34 kenderaan terdiri daripada motosikal, kereta dan lori.

Daripada jumlah itu 19 motosikal, lapan kereta dan tiga lori layak dilesenkan semula manakala selebihnya dilelong untuk pembeli barangan terpakai, katanya.

“Lelongan kali ini melibatkan 54 pembida dengan nilai bidaan tertinggi berjumlah RM3,550 untuk sebuah kereta Toyota Camry manakala bidaan terendah adalah untuk motosikal iaitu RM130,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia