Utusan Borneo (Sarawak)

PH jamin keadilan untuk semua rakyat: Dr Mahathir Ajak rakyat berganding bahu bersama kerajaan pulihkan negara susulan kerosakan ditinggal kerajaan terdahulu

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan akan menjamin keadilan bagi semua rakyat setelah mereka mencapai kemerdekaa­n kedua dengan menolak pemerintah­an kejam kerajaan sebelum ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sekali gus, perdana menteri mengajak rakyat berganding bahu bersama kerajaan untuk memulihkan negara susulan kerosakan yang ditinggalk­an oleh kerajaan terdahulu.

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2018, perdana menteri berkata, rakyat merayakan sambutan kali ini dengan perasaan lega setelah berasa tertekan di bawah pentadbira­n lama.

“Sesungguhn­ya ini adalah kemerdekaa­n kedua bagi kita. Kita sudah bebas daripada belenggu pemerintah­an kejam. Hidup kita lebih selesa.

“Kerajaan PH ini akan jamin keadilan bagi semua rakyat, tanpa mengira kaum atau bangsa atau agama,” katanya dalam perutusan yang disiarkan oleh televisyen tempatan.

Mengimbas kejayaan negara, Dr Mahathir berkata Malaysia pernah membangun dengan pesat sehingga dikenali sebagai Harimau Asia dan sesungguhn­ya kemampuan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 tetap ada.

Beliau berkata malangnya pertukaran pemerintah­an membawa perubahan dasar dan pendekatan dengan sistem demokrasi dan pentadibra­n mengikut undangunda­ng digugur dan diganti dengan cara-cara lain.

“Demikianla­h kerosakan dan tekanan yang dirasai oleh rakyat sehingga mereka berasa seolah-olah mencapai kemerdekaa­n sekali lagi apabila PRU 14 (Pilihan Raya Umum ke 14) menghasilk­an perubahan pemerintah­an,” katanya.

Dalam mengajak rakyat berganding bahu dengan kerajaan untuk memulihkan negara, Perdana menteri membayangk­an cabaran besar yang bakal dihadapi mereka tetapi yakin dengan gandingan kerajaan-rakyat.

“Tugas kita memang berat. Tetapi tidak ada kuasa yang boleh menghalang gandingan rakyat dengan pemerintah.

“Kita sudah lihat bagaimana negara yang telah kalah dan hancur dalam peper- angan dapat memulihkan negara sehingga dalam masa yang singkat dapat kembali maju kerana semangat dan usaha oleh rakyat dan pemerintah,” katanya.

Kerajaan, kata Dr Mahathir, sedang menjalanka­n tadbir urus dengan baik,berjimat cermat, berdisipli­n dan mengawal nafsu.

Beliau berkata pencapaian dalam mengurangk­an hutang sudah kelihatan dan kerosakan jentera pentadbira­n telah dapat dipulih semula.

“Insya-Allah dengan tindakan yang sedang dan akan diambil, negara akan sihat semula.

“Tetapi rakyat juga perlu memain peranan. Jikalau kerajaan tidak mampu hulur wang seperti dahulu, sebabnya ialah pembaziran seperti dahulu akan jejaskan proses pemulihan.

“Lagipun kerajaan ini tidak mencuri wang rakyat untuk diberi kepada rakyat sebahagian dari hasil pencurian,” tambahnya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan menggunaka­n pendekatan lebih baik dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dengan pendapatan diperolehi lebih memuaskan melalui hasil titik peluh sendiri serta halal.

Beliau berkata bagi tujuan itu, kerajaan akan memberikan pelajaran dan latihan serta biasiswa selain kepakaran pekerja ditingkatk­an supaya pendapatan akan bertambah.

“Kita akan naikkan upah mengikut kemampuan. Tetapi yang perlu diingati ialah kenaikan upah tidak bermakna jika kos sara hidup naik bersama,” katanya.

Dr Mahathir berkongsi formula untuk meningkatk­an kuasa beli rakyat.

Beliau berkata, untuk menentukan kenaikan upah menambah daya beli, produktivi­ti perlu ditingkatk­an melalui cara pengurusan yang lebih cekap,peningkata­n kecekapan pekerja, penggunaan mesin, robotik dan otomasi dan tambahan pelaburan oleh majikan.

“Kerajaan akan memberikan insentif dan hadiah kepada mereka yang berjayamen­ingkatkan produktivi­ti dengan kos yang terendah. Kenaikan harga hasil perusahaan hendaklah dikawal,” jelasnya.

Dr Mahathir juga menegaskan kerajaan akan membantu rakyat yang benar-benar miskin atau kurang upaya dengan bantuan yang lebih baik dari BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

Katanya, BRIM akan dikurangka­n beransur-ansur tetapi mereka yang daif, tidak bekerja atau tidak dapat bekerja akan dibantu secara lebih bermakna.

Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’, Dr Mahathir berkata, perasaan sayangkan negara mampu mengatasi segala perbezaan, percanggah­an dan rasa sangsi yang timbul.

Harapan Dr Mahathir serta rakyat, Malaysia yang mencapai kemerdekaa­n daripada British sejak 31 Ogos, 1957, terus maju, aman dan saksama akan kekal selamanya. — Bernama

Kerajaan PH ini akan jamin keadilan bagi semua rakyat, tanpa mengira kaum atau bangsa atau agama. Tun Dr Mahathir Mohamad Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia