Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga hari prosiding siasatan GST: Kiandee

-

KUALA LUMPUR: Jawatankua­sa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam menetapkan 12, 13 dan 20 Sept untuk memanggil beberapa individu yang terlibat bagi isu wang tuntutan cukai input bagi kutipan Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST).

Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pihaknya menyenarai­kan lebih daripada enam individu untuk dipanggil bagi membantu siasatan berhubung isu kehilangan wang tuntutan bayaran balik GST yang didakwa ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

“Beberapa saksi telah dipanggil termasuk daripada Jabatan Kewangan Negara, Jabatan Kastam untuk memberi keterangan kepada PAC.

“...kita akan panggil mereka (pegawai kerajaan terdahulu), penjawat awam terdahulu dan sekarang, bekas menteri dan menteri sekarang bakal dipanggil PAC dan surat telah pun diedarkan,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Jabatan Akauntan Negara bersama PAC di bangunan parlimen, semalam.

PAC kini dalam proses awal untuk menyiasat dua isu utama iaitu kehilangan lebih RM18 billion wang tuntutan GST dan skandal 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Kiandee berkata PAC semalam mendengar taklimat daripada Jabatan Akautan Ne- gara atas isu kehilangan wang tuntutan GST dan 1MDB seperti yang diusulkan oleh Dewan Rakyat sebelum ini.

“Proses taklimat masih berjalan, taklimat bayaran tuntutan GST sudah selesai dan kini 1MDB. Anyway, saya tidak boleh beritahu apa yang dibincangk­an dalam bilik taklimat kerana kita tertakluk kepada peraturan mesyuarat dan perkara yang dibincangk­an di dalam (bilik taklimat).

“Ini (taklimat) cuma pengenalan kepada isu dan perkara-perkara yang akan kelak dijadikan sebagai bahan siasatan oleh ahli PAC apabila prosiding terhadap perkara ini dibuat oleh PAC,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia