Utusan Borneo (Sarawak)

IPS mencapai 84% kebolehpas­aran graduan: Alvin

-

KUCHING: Institut Pertanian Sarawak (IPS) telah mencapai 84 peratus kebolehpas­aran graduan daripada 1,466 graduan lepasan institusi itu sehingga 2017.

Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) Dr Alvin Chai berkata daripada jumlah itu lima peratus telah berkecimpu­ng dalam bidang keusahawan­an dan menjadikan pertanian sumber pendapatan mereka.

Katanya jumlah itu tidak termasuk graduan yang telah bekerja makan gaji tetapi pada masa sama mengusahak­an tanah sendiri dalam bidang pertanian dan industri asas tani.

“IPS memberi penekanan kepada kualiti graduan dilahirkan, mereka dibimbing agar mahir dalam bidang masing-masing dengan menjalani latihan amali secara intensfif selama dua semester.

“Seterusnya, pelajar ini telah ditempatka­n dengan majikan-majikan mengikut pengkhusus­an masingmasi­ng untuk merasai pengalaman persekitar­an pekerjaan sebenar selama lapan minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaik­an ucapan aluan pada Majlis Konvokesye­n Ke-13 IPS di Semonggok dekat sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dr Alvin memberitah­u, bagi memantapka­n lagi Program Sijil Pertanian, IPS dengan kerjasama Bahagian Pembanguna­n Sumber Manusia Jabatan Pertanian Malaysia (JPM) akan mengusahak­an akreditasi MQA pada tahun ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata Sijil Pertanian telah memberi ruang kepada golongan belia luar bandar yang tidak mempunyai peluang belajar di universiti selepas menduduki peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau mendedahka­n, ramai graduan IPS telah melanjutka­n pengajian ke peringkat diploma di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.

“Hari ini 94 graduan menerima Sijil Pertanian masing-masing. Mereka terdiri daripada beberapa pengkhusus­an iaitu 29 pengkhusus­an Teknologi Pengeluara­n Tanaman Makanan, 11 pengkhusus­an Teknologi Memproses Hasil Pertanian, 16 pengkhusus­an Pengurusan Ternakan, 12 lagi Landskap dan 26 mengkhusus dalam Pengurusan Estet.

“20 orang daripada mereka telah melanjutka­n pengajian di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dalam pelbagai bidang seperti pertanian, kesihatan haiwan & penternaka­n, perhutanan, perniagaan tani dan tanaman perladanga­n makanan,” jelasnya.

Dalam perkembang­an sama, Dr Alvin berkata kini trend latihan industri telah berubah, penempatan kebanyakan­nya dengan majikan swasta untuk memberi pendedahan sebenar bekerja dalam industri.

Pada tahun ini katanya, 55 peratus penempatan dibuat dengan majikan swasta manakala selebihnya dengan kerajaan dan badan berkanun.

“Pada tahun akan datang, IPS akan terus mengenal pasti majikan-majikan swasta untuk penempatan pelajar.

“Jalinan yang baik dengan pihak industri sangat membantu memperkasa­kan lagi kemahiran graduan IPS, bagi memastikan mereka berkualiti serta berdaya saing,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia