Utusan Borneo (Sarawak)

Anggota tentera didakwa salah guna wang milik anggota polis

-

KUANTAN: Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menyalahgu­nakan wang bukan miliknya pada Mac hingga April lepas.

Tertuduh Koperal Hafizan Mohd Norwawi, 30, yang bertugas sebagai pembantu automotif di Kem Batu 10, di sini membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Aling.

Mengikut kertas pertuduhan, Hafizan pada 24 Mac hingga 22 April lepas bertempat di mesin juruwang automatik (ATM) Maybank Petronas Jaya Gading, di sini didapati dengan curangnya telah menyalahgu­nakan wang berjumlah RM36,113.32 kepunyaan seorang anggota polis.

Sehubungan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp P. Prabu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh sementara menunggu tarikh sebutan, bagaimanap­un Hafizan yang masih bujang merayu agar mahkamah menetapkan kadar jaminan yang lebih rendah memandangk­an dia terpaksa menanggung kedua ibu bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarka­n tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,0000. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia