Utusan Borneo (Sarawak)

Rakyat Malaysia anggota ‘Macau Scam’ di Bangkok akan dihantar pulang

-

BANGKOK: Sepuluh rakyat Malaysia yang ditahan polis Thailand dalam satu serbuan terhadap sindiket antarabang­sa ‘Macau Scam’ di Bangkok bulan lepas akan dihantar pulang ke negara asal dalam jangka masa terdekat ini.

Perkara itu disahkan oleh penolong pegawai perhubunga­n awam Polis Diraja Malaysia ( PDRM) Kedutaan Malaysia di Thailand Supt Ridzuan Abdul Aziz.

“Kesemua mereka akan dihantar pulang ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama semalam dan menambah, persiapan sedang dilakukan untuk menghantar mereka pulang.

Pada ketika ini, 10 suspek rakyat Malaysia itu sedang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Suan Phlu di Bangkok semenjak penangkapa­n mereka dalam satu operasi Polis Thailand pada 2 Ogos lepas.

Menurut Ridzuan, sindiket Macau Scam terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan warga Taiwan.

Kesemua rakyat Malaysia itu ditahan selepas rumah sewa dua tingkat mereka di daerah Prawet, berhampira­n Bangkok diserbu oleh anggota polis Thailand dalam satu operasi khas pada lewat malam 2 Ogos lepas.

Menurut Polis Thailand, sindiket menggunaka­n Thailand untuk operasi tetapi menjadikan rakyat Malaysia sebagai sasaran utama kegiatan penipuan mereka.

“Sindiket didalangi rakyat Malaysia dan Taiwan. Serbuan adalah hasil kerjasama antara Polis Thailand dan Polis Malaysia,” menurut kenyataan Timbalan Polis Pelancong negara itu, Mej Jen Surachet Hakpal sejurus selepas operasi itu.

Katanya, sindiket itu amat dikehendak­i oleh Polis Malaysia dan kejayaan operasi membuktika­n kerjasama yang erat antara kedua-dua pasukan keselamata­n itu.

Surachet berkata, sindiket mula menyewa rumah dua tingkat itu empat bulan lepas dan dipercayai akan berpindah ke tempat lain sebelum kegiatan mereka terbongkar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia