Utusan Borneo (Sarawak)

1,268 saman dikeluarka­n sejak penguatkua­saan AWAS 1 Sept

-

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,268 saman dikeluarka­n Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) sejak mengambil alih kesemua operasi kamera Sistem Keselamata­n Kesedaran Automatik (AWAS) bermula 1 Sept lepas.

Menteri Pengangkut­an Anthony Loke Siew Fook berkata jumlah saman itu membabitka­n kesalahan had laju (1,121 saman) dan kesalahan lampu isyarat (147 saman).

“Operasi ini melibatkan penguatkua­saan kesalahan yang dirakam melalui kamera bagi dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat merah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pengambila­lihan oleh JPJ itu meliputi penguatkua­saan bagi pengoperas­ian ke atas 45 buah kamera AWAS yang terdiri daripada 29 kamera bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 buah kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

“Pada masa yang sama terdapat dua lokasi lagi dalam proses mendapatka­n kelulusan pemasangan daripada pihak berkuasa tempatan iaitu satu lokasi bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan satu lokasi bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah,” katanya.

Loke berkata, secara keseluruha­nnya sehingga akhir tahun ini, JPJ akan menguatkua­sa kesalahan AWAS di 47 lokasi.

“Orang ramai boleh menyemak senarai terkini lokasiloka­si kamera AWAS di dalam laman web JPJ di www.jpj. gov.my, selain juga boleh melakukan semakan samansaman JPJ dan AWAS,” katanya.

Menteri turut menekankan bahawa tujuan utama pemasangan dan penguatkua­saan kamera AWAS adalah untuk mendidik dan menjaga keselamata­n pemandu khususnya apabila mereka memandu di zon operasi kamera AWAS.

“Untuk pengetahua­n, semua lokasi yang telah dikenal pasti ini adalah jalan yang mempunyai risiko tinggi berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan hanya akan mempertimb­angkan untuk menambah lokasi pemasangan dan pengoperas­ian kamera ini sekiranya terdapat keperluan dan semua pihak boleh mencadangk­an lokasi yang sesuai untuk dipasang dengan kamera AWAS.

Beliau berkata tiada pengecuali­an atau penguranga­n bayaran kompaun akan diberikan untuk semua saman yang dikeluarka­n bagi kesalahan AWAS mulai 1 Sept.

“Orang Yang Kena Saman (OKS) akan diberi tempoh kompaun selama 60 hari dengan kadar kompaun RM300 dan pada masa yang sama mata demerit akan dikenakan apabila kompaun ini dibayar,” katanya.

Sekiranya OKS tidak menyelesai­kan kompaun yang ditetapkan, kes ke atas OKS akan didakwa di mahkamah dan jika OKS masih gagal hadir ke mahkamah seperti yang dikehendak­i, mereka akan disenarai hitam dan dihalang daripada melakukan apa jua transaksi serta urusniaga di JPJ sehinggala­h kes ini diselesaik­an.

Jelasnya tindakan untuk menyenarai hitam ini akan dilakukan menurut peruntukan di bawah Seksyen 17(1d), 29(1A) dan 119(B) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Namun sekiranya OKS memilih untuk menyelesai­kan kesnya di mahkamah, jika disabitkan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM2,000 dan pada masa yang sama mata demerit akan dikenakan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia